Tiga tonggak utama kembali perkuat Harimau Malaya hadapi Vietnam - Sukan | mStar

Tiga tonggak utama kembali perkuat Harimau Malaya hadapi Vietnam

Tan Cheng Hoe.

SEPANG: Skuad Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menghadapi Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, setelah dua tonggak di bahagian pertahanan, kembali pulih daripada kecederaan untuk aksi berkenaan di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

Tiga pemain berkenaan adalah pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak dan pertahanan kiri, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak yang tidak diturunkan pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2.

Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui kehadiran semula dua pemain berkenaan selain kembalinya pertahanan kanan, Muhammad Syahmi Safari daripada penggantungan satu perlawanan, nyata memberi kelegaan kepadanya untuk aksi genting di Hanoi nanti.

"Kita harap dengan kembalinya tiga pemain pertahanan ini, ia sedikit sebanyak membantu kita di barisan pertahanan, namun kita tahu serangan Vietnam agak pantas, cepat mengambil peluang dan pemain perlu fokus selain kubu negara tidak dibolosi," katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan berlakunya perubahan formasi terutamanya di bahagian pertahanan selepas kubu skuad negara mudah dibolosi pada aksi sebelum ini, namun mengakui ia bergantung kepada keadaan pada hari perlawanan berkenaan.

"Pemain juga sudah tahu keadaan cuaca di sana, mungkin hujan atau keadaan sejuk dan pemain kena bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana nanti," jelas Cheng Hoe yang menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal ketika Malaysia meraih kejuaraan sulung pada edisi 2010.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut serta ke Hanoi, mengakui kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang seimbang untuk muncul juara buat kali kedua, dengan Vietnam muncul juara pada 2008, manakala Malaysia pada 2010.

"Apabila keputusan seri 2-2 pada aksi (final pertama) sebelum ini, mungkin ada penyokong yang berpendapat kita mempunyai peluang tipis (untuk muncul juara) di Hanoi, tetapi dalam bola sepak, apa pun boleh terjadi macam kita bertemu dengan Thailand (sebelum ini).

"Saya kira peluang kita untuk muncul juara dengan Vietnam adalah 50-50, maknanya kita ada peluang dan dia pun ada peluang, dan dia tertekan beraksi di laman sendiri dan saya ingat pemain kita bersedia main tanpa tekanan dan beraksi dengan baik," tegas Hamidin.

Untuk rekod, Malaysia bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat Vietnam 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas. - BERNAMA

Tan Cheng Hoe , Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain