suria

Jualan tiket final kedua Piala AFF Suzuki ditutup

Skuad Harimau Malaya bergambar kenangan sebelum berlepas ke Vietnam pagi Khamis. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menutup permohonan pembelian tiket final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Hanoi pada tengah malam tadi.

FAM dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebooknya pada Khamis memaklumkan, sebarang pembelian yang dibuat selepas tempoh berkenaan, tidak akan diproses dan disahkan.

Badan induk turut berterima kasih kepada penyokong skuad Harimau Malaya yang sudah membeli tiket menerusi mereka untuk menyaksikan perlawanan berkenaan yang akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

"Sokongan anda sangat dinanti-nantikan bagi menyemarakkan lagi semangat para pemain Harimau Malaya dalam memburu kemenangan di Hanoi untuk menjulang trofi kejuaraan itu," jelas FAM.

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) sebelum ini memperuntukkan sebanyak 3,000 keping tiket kepada penyokong Malaysia untuk aksi kedua Piala AFF di Hanoi.

Untuk rekod, Malaysia bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat keputusan seri 2-2 dengan Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas. - BERNAMA

Piala AFF Suzuki, FAM, tiket

Artikel Lain