Syed Saddiq yakin Harimau Malaya mampu jinakkan Vietnam - Sukan | mStar

Syed Saddiq yakin Harimau Malaya mampu jinakkan Vietnam

Harimau Malaya perlu mengelak kesilapan ketika beraksi di kandang lawan pada Sabtu ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin skuad Harimau Malaya mampu mengatasi Vietnam pada final kedua Piala AFF 2018 Sabtu ini untuk muncul juara.

Katanya, beliau akan turut mengikut pasukan penyokong ke Stadium Nasional MyDinh, Hanoi untuk memberikan sokongan padu kepada skuad itu, selepas melihat semangat juang tinggi yang dipamerkan sepanjang kempen Piala AFF tahun ini.

“Kalau lihat prestasi mereka memang sangat memberangsangkan, pada masa yang sama mereka menyatupadukan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama. Ia merupakan perkara yang saya sendiri terinspirasi.

“Saya akan pergi bersama dengan mereka ke Vietnam… Kita telah pun berjaya menyewa empat penerbangan bersama AirAsia. Kita akan bawa sebanyak Ultras (Malaya) yang mungkin supaya sokongan padu diberikan kepada Harimau Malaya, walaupun beraksi di tempat lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia di sini, malam Rabu.

Syed Saddiq turut berharap seluruh rakyat Malaysia akan memberikan sokongan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu, walaupun tidak pergi ke Hanoi.

“Kalau tidak ke sana (Hanoi) pun, buka televisyen bersama-sama anggota keluarga, ada banyak tempat orang berkumpul seperti di warung, kedai makan dan tempat awam. KBS (Kementerian Belia dan Sukan) juga akan buat banyak tayangan langsung,” katanya.

Ketika aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat skuad Naga Emas itu 2-2.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya yakin prestasi sukan dapat terus ditingkatkan sekiranya bajet yang diperuntukkan untuk sukan bagi tahun 2019 diagihkan dengan efisien dan adil.

“MSN (Majlis Sukan Negara) mendapat peruntukan yang paling banyak sekali, iaitu lebih RM80 juta. Sebelum ini, dibahagikan kepada Kumpulan Amanah sukan yang boleh diguna pakai untuk perkara berbeza, tapi sekarang kita nak lebih telus, sebab itu terus diletak di bawah MSN,” katanya.

Syed Saddiq berkata pihaknya juga sedang berusaha untuk menghidupkan kembali konsep Rakan Sukan bagi menggalakkan lebih ramai syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan bekerja rapat dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) demi pembangunan sukan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada majlis tersebut berkata, kerajaan akan meningkatkan peruntukan untuk sukan apabila keadaan ekonomi negara pulih, selepas terpaksa mengurangkan perbelanjaan 2019, termasuk untuk KBS.

Beliau berkata NSA perlu menerima hakikat bahawa kekangan kewangan negara pada masa ini memaksa kerajaan membatalkan atau mengkaji semula peruntukan untuk program pembangunan sukan negara. - BERNAMA

Harimau Malaya , Piala AFF Suzuki

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel