suria

Ronaldo sedia nikmati 'detik manis' Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Young Boys

Ronaldo yakin pasukannya sudah bersedia untuk Liga Juara-Juara. - Getty Images

CRISTIANO RONALDO menikmati bahagian yang manis dalam Liga Juara-Juara dan yakin Juventus akan bersedia untuk mara sebagai 16 pasukan terakhir walaupun kalah mengejut kepada Young Boys.

Juara Itali, Juventus tewas 2-1 kepada Young Boys tetapi masih melepasi fasa kalah mati sebagai pemenang Kumpulan H dan berada di depan Manchester United.

"Sekarang detik manis daripada Liga Juara-Juara sudah bermula dan saya yakin kami akan bersedia sepenuhnya untuk itu.

"Saya tenang kerana saya tahu potensi pasukan ini dan juga potensi saya.

"Saya boleh menjaringkan beberapa gol dengan mudah tapi ini bola sepak, kita perlu fokus pada permainan seterusnya," kata bintang berusia 33 tahun itu.

Penalti pada minit ke-30 oleh Hoarau meletakkan Young Boys di hadapan di Bern dan bekas pemain Perancis itu menggandakan gol dengan permainan berbaki 22 minit.

Paulo Dybala pula mengurangkan defisit gol 10 minit sebelum tamat babak perlawanan selepas dibantu oleh Ronaldo.

Tetapi Juve tidak dapat mencari gol penyamaan.

"Kami tahu bahawa ia akan menjadi perlawanan yang sukar di sini.

"Kami mempunyai peluang pada babak pertama dan tidak menjaringkan gol. Saya fikir itu adalah pengajaran terbesar buat kami.

"Selepas mereka menjaringkan gol, kami tahu ia akan menjadi sukar, tetapi kami gembira kerana telah menjadi pemenang kumpulan, itu yang kami mahu capai," kata pemain tengah Juve, Emre Can. - Goal

Cristiano Ronaldo

Artikel Lain