suria

Piala AFF Suzuki: Lebih banyak skrin gergasi tayang siaran langsung Sabtu ini - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Tayangan secara langsung bakal diadakan di beberapa tempat sempena final kedua Piala AFF Suzuki, Sabtu ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu, Putrajaya adalah salah satu lokasi yang akan dibuka untuk ‘live streaming’ perlawanan penting itu.

“Axiata Arena belum pasti lagi, tetapi akan dibuka lebih banyak di tempat lain kerana mereka semua (Harimau Malaya) memberi inspirasi kepada kita semua.

“Walaupun ada penyokong yang tidak bersama-sama di Vietnam, tetapi marilah kita tunjukkan sokongan padu dengan menonton secara langsung di televisyen,” katanya kepada media selepas Malam Anugerah Olimpian Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Rabu malam.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, beliau akan turut berada di Vietnam bagi menyokong skuad Harimau Malaya.

“Saya akan bersama Ultras di sana dan kita telah berjaya menyewa khas empat pesawat AirAsia untuk penyokong Harimau Malaya.

“Saya sendiri merasakan skuad negara menjadi sumber inspirasi kerana mereka berjaya menyatu padukan rakyat Malaysia dalam pelbagai bangsa dan agama.

“Saya fikir mereka boleh menang dalam aksi akhir kedua ini,” tambahnya.

Malaysia bakal beraksi bagi saingan penentuan merebut Piala AFF Suzuki di tempat lawan selepas terikat 2-2 pada saingan akhir pertama Selasa lalu.

Kali terakhir Malaysia menjulang trofi terbaik Asean ini pada tahun 2010.


 

Syed Saddiq, Piala AFF Suzuki, Hanoi

Artikel Lain