Modric tamatkan dominasi Ronaldo-Messi rangkul Ballon d'Or, Mbappe pemain muda terbaik - Sukan | mStar

Modric tamatkan dominasi Ronaldo-Messi rangkul Ballon d'Or, Mbappe pemain muda terbaik

LUKA Modric meneruskan rekod cemerlang tahun ini apabila terpilih menerima anugerah Ballon d'Or.

Anugerah yang sebelum ini didominasi oleh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi lebih 10 tahun kini bertukar tangan pada majlis yang berlangsung di Grand Palais, Paris awal pagi Selasa.

Modric yang dianggap pemenang baharu selepas bintang Brazil Kaka menjulang trofi ini 2007 sebelum ia dikuasai era Ronaldo-Messi.

Pemain Croatia itu merupakan nadi utama dalam membawa skuadnya mara ke final Piala Dunia Jun lalu dan turut membantu kelab Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara kali ketiga berturut-turut Mei tahun ini.

Modric (tengah) bersama pemenang Ballon d'Or wanita Hegerberg dan Mbappe yang menerima trofi pemain muda terbaik.

Sementara itu Ronaldo yang menerima 476 undi berada ditempat kedua, diikuti Antoine Griezmann, Kylian Mbappe serta bintang Barcelona Messi ditangga kelima.

"Emosi yang saya tidak boleh jelaskan. Semenjak kecil, saya impikan untuk bermain dengan kelab besar.

"Ballon d'Or lebih daripada mimpi. Ia sesuatu yang sukar dipercayai. Sepanjang karier, saya telah bekerja keras berterus.

"Dalam saat sukar, anda perlu menunjukkan  sikap berani dan sentiasa percaya perkara yang baik tidak mudah untuk dikecapi. Semua pencapaian ini bukan mudah.

"Tetapi cepat atau lambat, anda akan dapat peluang ini apabila tiba waktunya," jelas Modric dan turut memberi penghargaan kepada bekas kelabnya Tottenham yang turut membantu menaikkan kariernya sebelum ini.

Selain itu, pemain Perancis, Mbappe meraih trofi Kopa selaku Pemain Terbaik bawah 21 Tahun.

Manakala pemain wanita Lyon dan Norway, Ada Hegerberg dipilih merangkul anugerah Ballon d'Or buat kali pertama. 

Luka Modric , Ballon D'or