suria

Piala Malaysia: PKNS FC bergaya mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Kelab Liga Super, PKNS FC melengkapkan pusingan awal Piala Malaysia dengan bergaya selepas menang selesa 5-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Shah Alam Sabtu malam.

Kemenangan tersebut menyaksikan PKNS FC yang sudah menempah tiket ke suku akhir lebih awal, muncul juara kumpulan B dengan kutipan 13 mata.

Penyerang import dari Brazil, Bruno Matos muncul wira skuad Semut Merah apabila meledak jaringan hatrik pada minit ke-13, 20' dan 75' selain gol daripada Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew seawal minit ketiga perlawanan dan Muhamad Faizat Mohamad Ghazli pada minit ke-52.

Juara Liga Premier, Felda United pula mengiringi PKNS FC ke suku akhir selaku naib juara kumpulan B walaupun diaibkan dengan kekalahan 1-6 kepada Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Penyerang import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi mempamerkan sentuhan penyudah cemerlang setelah melakar jaringan hatrik pada minit kesembilan, 43' dan 83', selain tiga gol, masing-masing daripada Yahor Zubovich (24') dan S. Chanturu pada minit ke-72' dan 77'.

Felda United meraih gol sagu hati menerusi Muhammad Zahril Azri Zabri pada minit ke-55.Dalam pada itu, kekalahan yang dialami Terengganu FC dan Perak pada aksi terakhir kumpulan A tidak menggugat kedudukan mereka yang sudahpun mengesahkan slot ke peringkat suku akhir lebih awal.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad Penyu kalah mengejut 2-3 kepada Kuala Lumpur.

Dua gol Terengganu FC dijaringkan oleh Do Donghyun pada minit ke-33 dan Mohd Shahrul Aizad Zulkifli pada minit ke-64 manakala tiga gol pasukan pelawat disumbangkan dua pemain import dari Brazil, Guilherme de Paula pada minit ketiga dan 87' serta Paulo Josue pada minit ke-36.

Juara tujuh kali Piala Malaysia, Perak pula diaibkan dengan kekalahan tipis 1-2 kepada naib juara Liga Premier, Felcra FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dua gol skuad 'The Rivals' dijaringkan oleh Dzulfahmi Abdul Hadi pada minit ke-38 dan Abdul Azim Rahim pada minit ke-78, manakala gol tunggal Perak disumbangkan oleh penyerang import dari Brazil, Gilmar Jose da Silva Filho pada minit ke-75.

PKNS FC akan berdepan Perak manakala Felda United akan menentang Terengganu FC pada aksi suku akhir yang menggunakan format timbal balik pada penghujung bulan ini.- Bernama

PKNS FC, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain