suria

Sukan bukan Olimpik mungkin digugurkan daripada Program Podium

Sukan di bawah Program Podium yang tidak dipertandingkan pada Sukan Olimpik Tokyo ialah skuasy, boling, pencak silat dan wushu.

KUALA LUMPUR: Beberapa jenis sukan dan atlet yang tidak berada dalam program Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijangka digugurkan daripada Program Podium dalam usaha menambah baik program atlet elit itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali berkata ini kerana buat masa ini misi meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik menjadi keutamaan Program Podium.

Katanya penambahbahbaikan program itu yang telah menelan kos RM67 juta setakat ini akan dibuat dalam masa terdekat selepas mengambil kira pandangan dalam Bengkel Post-Mortem Program Podium selama dua hari, bermula hari ini.

“Hala tuju atlet yang tidak terbabit akan dibincang kemudian kerana kita ada program lain seperti Kita Juara yang juga memberikan sokongan kepada atlet. Sasaran utama Program Podium ini ialah Tokyo 2020, maka adalah penting untuk gunakan semua sumber yang di bawah program ini untuk tujuan tersebut.

“Penambahbaikan perlu dibuat untuk memberi ruang dan peluang yang lebih besar bagi pencapaian di 2020,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan alu-aluan pada bengkel tersebut yang diadakan secara tertutup di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis.

Sukan di bawah Program Podium yang tidak dipertandingkan pada Sukan Olimpik Tokyo ialah skuasy, boling, pencak silat dan wushu.

Bengkel itu melibatkan semua pemegang taruh  iaitu wakil KBS, Institut Sukan Negara (ISN), MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), persatuan sukan kebangsaan, jurulatih, atlet program itu serta ahli bebas.

Lokman berkata semua pendapat dan perbincangan daripada bengkel itu akan diperhalusi oleh sebuah panel rebiu bebas  sebelum keputusan diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ditanya mengenai calon pengganti Pengarah Program Podium, Tim Newenham yang telah melepaskan jawatannya pada minggu lalu kerana gagal mencapai sasaran kedudukan 10 teratas Sukan Asia Indonesia baru-baru ini, Lokman berkata perkara itu akan dilihat pada bengkel berkenaan.

“Struktur dan pengurusan Program Podium juga akan ditentukan menerusi bengkel ini sama ada diketuai oleh seorang individu. Kalau diketuai oleh seorang individu, proses pemilihannya adalah satu proses yang robust. Tetapi kita lihat kepakaran dalam (rakyat Malaysia) untuk menggantikannya,” katanya.

Mengenai keputusan sama ada mengekalkan Program Podium di bawah ISN atau diletakkan di bawah MSN yang lebih mahir dalam pengurusan atlet, beliau berkata pihaknya perlu menunggu hasil perbincangan kerana melibatkan banyak kesan lain dari segi pentadbiran termasuk sumber manusia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Khairi Zawi berkata pihaknya akur dengan apa juga keputusan yang bakal diambil oleh KBS demi penambahbaikan program tersebut selain mengakui bahawa MSN lebih berpengalaman dalam pengurusan atlet.

“Kalau berlaku perubahan, pengurusan atlet itu akan berada di agensi yang lebih berpengalaman dalam urusan tersebut. Kita di ISN akan tetap memainkan peranan dari segi saintifik untuk memberikan perkhidmatan sains sukan, perubatan sukan dan pada satu masa nanti inovasi teknologi sukan,” katanya.

Bagi Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pihaknya akan terima keputusan yang bakal dibuat oleh KBS dan akan melaksanakan tanggungjawab terbaik untuk negara dengan sasaran utama ialah emas pertama Sukan Olimpik.

Penambahbaikan itu juga mungkin melibatkan kemasukan sukan baharu di Olimpik ke Program Podium, selain melihat persediaan untuk Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou pada 2022 serta Sukan Olimpik Paris 2024, katanya.-Bernama

Sukan bukan olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Terry tolak tawaran kelab Rusia

Artikel Lain