suria

Sukan Asia: Masalah trafik, jerebu belenggu Indonesia

Suasana persekitaran Stadium Bung Karno di Jakarta yang diselubungi jerebu.

JAKARTA: Persiapan untuk pembukaan Sukan Asia di ibu kota ini dibelenggu masalah kesesakan trafik dan jerebu, sekali gus mengancam kejohanan sukan kedua terbesar di dunia itu.

Kira-kira 16,000 atlet dan pegawai dari 45 buah negara bersama peminat sukan membanjiri Jakarta dan bandar Palembang untuk temasya sukan itu yang bermula Sabtu.

Langit Jakarta mencatatkan kualiti udara tidak sihat sejak beberapa minggu lalu di sebalik tindakan drastik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas termasuk sistem nombor plat genap dan ganjil serta penutupan sebahagian sekolah dan jalan bertol.

Indeks kualiti udara Jakarta berlegar pada bacaan sekitar 107 pada Jumaat dan boleh mendatangkan bahaya kepada individu yang sensitif terhadap pencemaran udara.

Indeks itu bagaimanapun kerap melepasi 150 bulan ini, bacaan yang dianggap mengancam kesihatan populasi awam. Bacaan lebih 300 pula berbahaya kepada manusia.

"Atlet yang bertanding di stadium tertutup tidak akan terjejas, namun lain pula kisahnya untuk acara luar seperti balapan, memanah, besbal, bola lisut, ragbi dan bola sepak," kata pakar pencemaran udara di Universiti Indonesia, Budi Haryanto.

Malahan, katanya, bertanding dalam persekitaran udara kotor membataskan keupayaan atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik.

Situasi itu diburukkan lagi dengan suhu panas 32 darjah Celsius di Jakarta.

Punca utama pencemaran udara di ibu negara Indonesia itu ialah asap kenderaan di mana terdapat kira-kira 18 juta kereta di kota raya yang didiami 10 juta penduduk itu, manakala jumlah tersebut meningkat setiap tahun.

Sementara itu, masalah jerebu yang melanda saban tahun kembali menyelubungi Palembang. Bandar lain yang berdepan cabaran pencemaran udara termasuk Beijing ketika ia bersiap sedia menjadi tuan rumah sukan Olimpik 2008. – AFP


Sukan Asia, jerebu

Artikel Lain