suria

Sukan Asia: Dua gol Safawi tewaskan Korea Selatan

PETALING JAYA: Ramuan gandingan tiga penyerang Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Muhammad Syafiq Ahmad semakin menjadi apabila berjaya menumpaskan juara bertahan Korea Selatan 2-1 pada aksi kedua Kumpulan E Sukan Asia Jumaat malam.

Penyerang Johor Darul Ta'zim, Safawi menjadi hero negara dengan menyumbat dua gol pada separuh masa pertama perlawanan.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu bermula baik dengan merakam gol pertama seawal minit kelima permainan menerusi Safawi.

Skuad Korea Selatan pula cuba mencari gol penyamaan melalui beberapa percubaan berbahaya, namun kecekapan benteng pertahan dan penjaga gol negara, Muhammad Haziq Nadzli menyukarkan pemain-pemain bimbingan Kim Hag Bum itu.

Lebih mengejutkan, ketika masa tambah sebelum masa rehat pertama, Safawi sekali lagi menjaringkan gol cantik menewaskan penjaga gol lawan, Song Bumkeun.

Korea Selatan bangkit pada babak kedua dengan merapatkan jurang gol menerusi jaringan Hwang Ui Jo, minit ke-88.

Keputusan kekal dengan kemenangan memihak kepada skuad negara. 

Menurut ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, keputusan yang baik ini disebabkan pemain-pemain mempamerkan disiplin yang tinggi.

"Pemain-pemain juga memberi komitmen serta mendapat sokongan yang baik. Paling penting ia membuktikan kerja keras dalam bola sepak, apabila ada keazaman keputusan baik boleh dicapai," jelasnya dalam satu rakaman media sidang selepas perlawanan.

Dalam pada itu, penjaringan kemenangan, Safawi gembira dengan keputusan positif yang dicatat oleh pasukan negara.

"Alhamdullilah sangat berbangga dengan keputusan malam ini. Semua pemain mengikut arahan yang diberikan oleh ketua jurulatih dan dapat menewaskan pasukan yang di anggap sebagai pilihan," ujarnya.

Sebagai rekod, skuad negara turut menang pada perlawanan pertama kumpulan bertemu Kyrgyzstan, 3-1 Rabu lalu.

Skuad negara bakal berdepan dengan Bahrain pada aksi akhir kumpulan pada 20 Ogos ini.

Dua pasukan teratas daripada setiap lapan kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.


Sukan Asia, Safawi Rasid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain