suria

KJ risau pemain negara diserang penyokong Indonesia, mana Syed Saddiq?

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin kesal dengan insiden keganasan penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati apabila pasukan mereka disingkirkan pasukan Malaysia dalam saingan separuh akhir Piala AFF  Bawah 19 Tahun (B-19), Khamis malam.

Khairy yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan meluahkan rasa kesalnya di Twitter awal pagi Khamis, susulan insiden tersebut dan berharap tindakan diambil oleh pihak yang berkenaan.

Tindak balas segera oleh Khairy berhubung isu itu dilihat lebih mendahului Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menerajui KBS.

“Insiden yang amat memalukan. Namun rakyat Malaysia amat bersabar dan harap tindakan diambil oleh pihak berkenaan. 

“Harap tiada provokasi semasa Sukan Asia nanti,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya, pagi Jumaat.

Syed Saddiq (kiri) dan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai insiden skuad B-19 negara berdepan dengan detik cemas apabila dibaling botol minuman dan batu oleh penyokong Indonesia.

Dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, skuad muda Garuda tewas di tangan Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1.

Malaysia bakal berdepan dengan juara dua kali, Myanmar di pentas akhir Sabtu ini.

Sementara itu, respons segera Khairy itu menyebabkan netizen tertanya-tanya di manakah Syed Saddiq dan apakah pendirian Malaysia berhubung isu ini.

"YB @SyedSaddiq where are you? The real Menteri Belia dan Sukan please stand up. Please stand up," tulis seorang pengguna Twitter.

Malah ada yang mengaitkan Syed Saddiq dengan aktiviti-aktivitnya sebelum ini dan secara sinis bertanya sama ada beliau 'masih bersenam di KBS' atau masih 'mengutip sampah di stadium'.

Syed Saddiq, empat jam kemudian memberi respons terhadap kritikan Khairy, yang menyatakan bahawa beliau turut kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh penyokong Indonesia terhadap skuad negara.

“Amat menyedihkan. Pihak mereka dah berjanji akan perketatkan kawalan keselamatan untuk perlawanan sabtu ini.

“Saya akan ke Indonesia malam ni dan akan pastikan sebaik mungkin bahawa perkara ini tidak akan berulang, khususnya bagi Sukan Asia nanti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau sebelum itu dilihat telah memberi respons lebih awal di Twitter berhubung isu ini yang menjadi kebimbangan ramai.

Mengikut rekod, pasukan B-19 negara tidak pernah merangkul gelaran juara selepas lima kali (2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017) muncul sebagai naib juara.

Selain dibaling botol dan batu termasuk suar, penyokong Indonesia turut melemparkan kata-kata kesat terhadap pemain Malaysia.

Dilaporkan, pihak berkuasa tempatan terpaksa membentuk bumbung penghalang daripada perisai polis menuju ke bilik persalinan bagi menyelamatkan pemain Malaysia daripada dicederakan

Kesemua pemain Harimau Muda termasuk jurulatihnya, Bojan Hodak terpaksa berlari dari tengah padang meluru ke bilik persalinan untuk mendapatkan perlindungan.

AFF, Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq

Artikel Lain