suria

Hamidin patut dah ada calon Setiausaha Agung FAM

KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai pelantikan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), terletak di tangan Datuk Hamidin Mohd Amin, yang bakal memulakan tugasnya sebagai presiden baharu badan induk itu secara rasmi pada Sabtu.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata Hamidin yang bakal dilantik sebagai presiden pada Kongres FAM ke-54 pada Sabtu, sepatutnya sudah ada calon untuk jawatan penting itu, memandangkan Hamidin sudah sah menyandang jawatan presiden selepas tiada calon lain yang merebut jawatan itu.

“Pelantikan setiausaha agung  terpulang kepada presiden, sama ada beliau mahu mengumumkan pada Sabtu atau pada tarikh yang lain dan siapa yang beliau bakal pilih.

“Bagaimanapun, saya rasa, beliau akan mengumumkannya secepat mungkin kerana ia merupakan jawatan penting dalam pentadbiran FAM yang memerlukan seorang yang boleh buat kerja.

“Lagipun, Hamidin menjadi calon tunggal untuk jawatan presiden, telah mendapat banyak masa untuk memikirkan tentang penggantinya yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Jawatan Setiausaha Agung FAM menjadi perhatian selepas Hamidin sah memegang jawatan nombor satu FAM, selepas pencabarnya, bekas Presiden Bola Sepak  Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, membuat keputusan menarik diri.

Hamidin bakal menduduki kerusi panas tersebut, selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengosongkan itu pada Mac lalu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa, sebanyak 12 calon telah berminat untuk jawatan lantikan presiden itu sehingga akhir Jun.

Difahamkan antara nama yang kini dikaitkan sebagai pengganti Hamidin adalah Naib Presiden Dentsu Sports Asia, Stuart Ramalingam, Ketua  Pegawai Eksekutif Persatuan  Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, Perunding Teknikal Liga Pro Oman, Saifuddin Abu Bakar, Ghaz Ramli dari Fremantle Dockers, Australia dan Ketua Pegawai Eksekutif Shekinah PR, yang juga Exco FAM, Christopher Raj.

Hamidin

Artikel Sebelum

Artikel Lain