suria

Penyokong final Piala FA sila ikut peraturan

KUALA LUMPUR: Pihak polis menasihati penyokong Pahang dan Selangor yang akan menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2018 pada Sabtu ini supaya mematuhi segala peraturan penguat kuasa serta memberi kerjasama ketika perlawanan itu berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras Supt Kamal Khan Mohd Shariff berkata dianggarkan seramai 80,000 penonton akan hadir ke stadium itu bagi menonton perlawanan berkenaan.

"Kita mahukan kelancaran serta menjamin keselamatan daripada pelbagai aspek supaya tidak timbul sebarang kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan itu. Jadi, penonton-penonton dinasihati supaya menjaga tingkah laku.

"Ianya adalah bagi menjaga imej negara kita juga kerana perlawanan itu akan disiarkan secara langsung dan juga akan menjadi tontonan negara-negara lain," katanya pada sidang media keselamatan dan kawalan lalu lintas Piala FA 2018 di Ibu Pejabat Polis daerah Cheras, di sini, Selasa.

Kamal Khan turut memberi amaran tegas kepada penyokong untuk tidak membawa sebarang bahan letupan seperti bunga api, mercun dan suar ke dalam stadium.

Perlawanan akhir Piala FA 2018 iaitu Pahang menentang Selangor dijadualkan bermula pukul 9 malam.- Bernama

Pahang, Selangor, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain