suria

Nasib dua pasukan Terengganu 7 Julai ini

TERENGGANU: Nasib dua pasukan bola sepak Terengganu iaitu Terengganu Football Club 1 (TFC 1) dan Terengganu Football Club 2 (TFC) hanya akan ditentukan selepas Mesyuarat Agung Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) pada 7 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa  Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ketika ini pelbagai pihak termasuk bekas jurulatih, bekas pemain dan mereka yang ketika ini berada dalam arena sukan bola sepak memberi pelbagai idea dan input sama ada mahu mengekalkan dua pasukan itu atau hanya mewujudkan satu pasukan sahaja.

Pelbagai  faktor perlu diambil kira bagi menguruskan dua pasukan bola sepak itu yang turut melibatkan kos kewangan yang tinggi, katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

“Semua pandangan akan kita selesaikan dan muktamadkan sebaik sahaja penyusunan organisasi yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSNT) dapat dilengkapkan di mana sekarang ada kekosongan dalam jawatankuasa PBSNT.

“Contoh, jawatan Timbalan Presiden yang dahulu dipegang oleh Datuk Wan Nawawi Wan Ismail telah dikosongkan…dan kita akan mengisi kekosongan itu dan Presiden sekarang mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad  Razif Abd Rahman juga dilaporkan akan menyerahkan jawatannya kepada bakal Presiden yang baharu.

Mengenai  keadaan kewangan Tabung Sukan Negeri, beliau berkata kerajaan negeri akan memperkasakan kembali tabung itu yang dilihat kurang mendapat sambutan daripada pihak swasta memandangkan sebelum ini penyumbang  terbesar ialah Kerajaan Negeri dan sedikit dana dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita akan berusaha mencari dana sendiri sama ada tajaan syarikat milik kerajaan (GLC), swasta atau pelbagai pihak. Ia perlu bagi kelangsungan industri sukan negeri ini bukan setakat bola sepak, tetapi juga sukan lain yang kita ungguli seperti sukan berbasikal,” katanya.

Terdahulu Timbalannya Hishamuddin Abdul Karim (PAS – Tepuh) dalam ucapan perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkata Tabung Pembangunan Khas Sukan Terengganu itu perlu mempunyai pengurusan khas bagi memperkasakannya kembali ekoran kurang mendapat sumbangan daripada GLC, pihak swasta mahu pun penjawat awam.

Kekurangan dana, katanya, akan merencatkan pembangunan sukan di Terengganu yang kini meningkat  terutamanya sukan berbasikal dan bola sepa. Bernama

Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Tidak bida Neymar"