suria

30,000 tiket final Piala FA untuk penyokong Selangor, Pahang

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) masing-masing mendapat peruntukan 30,000 tiket untuk penyokong mereka bagi perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), 7 Julai ini.

Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Malaysia, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata pihaknya turut memperuntukkan 750 tiket, masing-masing kepada kedua-dua pasukan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bagi perlawanan itu.

"Baki 18,000 tiket dewasa dan 500 tiket kanak-kanak akan dijual secara dalam talian melalui laman sesawang www.shopee.com.my dan www.tickethotline.com.my bermula Rabu ini pada 9 pagi manakala penebusan tiket dalam talian boleh dibuat mulai Khamis ini di SNBJ," katanya.

Shazli berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2018 di sini, Isnin.

Harga tiket dewasa ditetapkan pada kadar RM50 sekeping manakala RM5 sekeping untuk kanak-kanak, katanya.

Beliau berkata penjualan tiket untuk penyokong kedua-dua pasukan, di Stadium Shah Alam dan Stadium Darul Makmur, Kuantan akan bermula Khamis ini, mulai 9 pagi.

Dalam pada itu, wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, ASP Fadli Minhat memberi peringatan kepada semua penyokong yang akan datang ke stadium untuk mengikuti segala arahan lalu lintas daripada pasukan keselamatan.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa polis dengan kekuatan 1,505 anggota yang bertugas akan membuat pemantauan rapi di setiap pintu masuk bagi memastikan tiada bahan larangan seperti mercun dan suar dibawa masuk ke dalam stadium.

Selangor mara ke final selepas menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC dengan agregat 5-1 manakala Pahang menempah tiket menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, pada aksi separuh akhir.

Pahang muncul juara pada 2006 dan 2014, manakala Selangor merupakan juara lima kali dengan kali terakhir pada 2009. - BERNAMA

Piala FA, final

Artikel Sebelum

Arsenal ikat pemain Greek

Artikel Berikut

Artikel Lain