suria

“Zulfahmi tiada ganti” - Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR: Penunggang MotoGP pertama Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah berpandangan belum ada pelumba  yang dapat menggantikan Zulfahmi Khairuddin dalam kejuaraan dunia Moto2.

Hafizh yang pernah menyertai Moto2 selama empat musim (2014/2017) termasuk menerusi enam penampilan wildcard, bagaimanapun menyokong keputusan Zulfahmi untuk berundur daripada kejuaraan Moto2.

“Zulfahmi penunggang yang bagus. Beliau penunggang Malaysia pertama yang pernah menaiki podium pada kejohanan dunia semasa dalam kelas Moto3. Ketika berlumba dalam Kejohanan Dunia Supersport, beliau juga berjaya meraih podium.

“Saya tidak nampak ada penunggang lain yang setara untuk menggantikan beliau. Mungkin Azlan Shah Kamaruzaman. Beliau ada pengalaman dalam kejohanan dunia Moto2 namun kontrak semasanya mungkin jadi penghalang besar,” kata Hafizh dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Sepang International Circuit (SIC) pada Khamis.  

Zulfahmi  meninggalkan  SIC Racing Team dan MotoGP menerusi satu persetujuan bersama yang berkuat kuasa dua hari lepas, pada 8 Mei.

Selepas empat perlumbaan untuk musim 2018, bekas pelumba Moto3 dan Kejohanan  Supersport Dunia itu  membuat keputusan dan disokong oleh pasukan  untuk tidak meneruskan pembabitan dalam kejohanan Moto2.

“Jujurnya ia bukan suatu yang mudah untuk dilakukan. Ini bukan seperti anda hidupkan enjin dan terus menang. Semua motosikal Moto2 guna enjin yang sama namun disebabkan kita menunggang menggunakan casis berbeza, kemahiran penunggang memainkan peranan,” kata penunggang Monster Yamaha Tech3 itu.

Zulfahmi diumumkan sebagai pengganti Hafizh Syahrin yang mengikat kontrak untuk menunggang  bagi  pasukan Monster Yamaha Tech3, sebuah outfit MotoGP.  

Sekalipun menamatkan kontraknya dengan SIC Team Racing, Zulfahmi akan terus terlibat dalam perlumbaan menerusi peranan semasanya selaku mentor dalam program ‘Impian ke MotoGP' yang disokong SIC, bertujuan mencungkil bakat baharu dalam perlumbaan jentera dua roda. - Bernama

MotoGP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain