suria

Sasaran separuh akhir Piala Thomas, suku akhir Piala Uber

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran separuh akhir kepada skuad Piala Thomas dan suku akhir untuk skuad Piala Uber di Bangkok dari 20 hingga 27 Mei ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) percaya pemilihan gandingan bakat baharu berbanding pemain berpengalaman merupakan barisan terbaik untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan berprestij itu.

Bagi Piala Thomas, BAM telah menyenaraikan Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain dan bekas naib juara remaja dunia 2017, Leong Jun Hao untuk acara perseorangan manakala gandingan beregu terdiri daripada Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan Teo Ee Yi- Arif Abdul Latif.

Skuad Piala Uber dibarisi bekas juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei, Sonia Cheah, Lee Ying Ying dan S. Kisona dalam acara perseorangan manakala gandingan beregu terdiri daripada Vivian Hoo-Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean-Goh Yeah Ching dan Soong Fie Cho- Tee Jing Yi .

Mohamad Norza mengumumkan barisan pemain Piala Thomas dan Uber selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C and T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, Khamis.

Mengenai pemilihan pemain tidak berpengalaman dalam acara beregu lelaki,  katanya, semua pemain dipilih berdasarkan prestasi terkini mereka serta syor oleh ketua jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit.

“Inilah masa untuk membawa perubahan dalam acara beregu lelaki serta pelaburan untuk masa depan kerana sebelum ini kita sentiasa bergantung kepada pemain senior.

"Kami mahu pemain yang dahagakan kejayaan dan yakin untuk berjuang menentang sesiapa sahaja lawan mereka. Saya fikir kita perlu membuat keputusan berani demi melangkah ke hadapan,” katanya.

Katanya, skuad Piala Thomas dan Uber akan mengikuti kem persediaan di ABM dari 10 hingga 15 Mei ini.

Sementara itu, Mohamad Norza mengesahkan pemain profesional Liew Daren akan beraksi pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China, dari 20-27 Ogos ini, kerana layak secara merit, berbanding pemain BAM yang belum layak. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain