suria

Ketinggalan 16 Mata, Zidane Tetap Tolak Pemain Baharu

BARCELONA: Zinedine Zidane bertegas untuk tidak mengambil pemain baharu pada tempoh perpindahan musim sejuk walaupun pasukannya masih perlu mengharungi saingan La Liga dengan ketinggalan 16 mata.

Pengendali Real Madrid yang dinobatkan Jurulatih Terbaik Perancis 2017 itu tetap berpuas hati dengan pasukannya yang menduduki tangga ke empat La Liga.

Pada sidang media di sini, Zidane terlewat hampir 90 minit dan tampil dengan menunjukkan ketegasannya berkaitan pasukannya itu.

"Saya tidak perlukan sesiapa (untuk tandatangani perjanjian) dan ia adalah keputusan muktamad. Saya tidak mahukan sesiapa, saya tidak mahukan apa-apa.

"Kami sudah mempunyai skuad dan saya percayakan skuad ini.

"Ya, saya akui situasi bahaya namun saya tidak akan berubah. Saya sedar di depan saya adalah pemain terbaik yang mampu ikut arahan saya.

"Ada sesetengah orang berfikir segala-galanya sentiasa mudah buat saya tetapi ianya tidak benar. Sama ada bergelar pemain atau pun jurulatih, saya sentiasa akan bekerja," katanya.

Jelasnya kelewatan menghadiri sidang media itu kerana mengadakan pertemuan dengan pemainnya sebelum memulakan sesi latihan.

"Saya tidak akan beritahu apa yang kami bincangkan kerana perkara seperti ini akan berlaku kepada semua pasukan," katanya.

Mengenai pencapaiannya sebagai jurulatih, beliau berjanji untuk tidak dibayangi dengan apa yang pernah dikecapinya ketika bergelar pemain kelab ini.

"Zinedine Zidane bukan lagi pemain Real dan perkara itu tidak wujud lagi. Sekarang yang ada adalah Zinedine Zidane sebagai jurulatih yang mula mencipta karier," katanya.- Reuters

Zidane, Real

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain