suria

Dong-hyun Import Pertama Sertai TRW

Do Dong-hyun.

PETALING JAYA: Selepas S Veenod, pemain Korea Selatan Do Dong-hyun menjadi pemain kedua menyarung jersi skuad The Red Warriors (TRW) musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Dong-hyun yang juga bekas pemain UiTM FC menandatangani kontrak selama dua tahun bersama TRW.

“Ya, Dong-hyun kini pemain import pertama di bawa masuk Kafa untuk memperkuat Kelantan sebenar tadi. Dia akan menyarung jersi TRW selama dua musim,” katanya kepada mStar Online.

Bibi berkata kehadiran pemain berusia 23 tahun itu diharap dapat membantu memantapkan barisan tengah Kelantan pada aksi Liga Malaysia musim depan.

Malah katanya, keupayaan Dong-hyun untuk beraksi di posisi sayap dan serangan berjaya memukau panel kejurulatihan yang ditugaskan Kafa untuk melakukan pemilihan pemain bagi pasukan Kelantan.

“Selamat datang ke Kota Bahru. Semoga anda dapat membantu mencipta lebih banyak kemenangan untuk Kelantan,” katanya.

Dong-hyun dilepaskan UiTM FC secara rasmi pada Rabu selepas mewakili kelab Liga Perdana itu bagi musim 2017.

Pemain itu pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Bawah 20 tahun (B-20) Korea Selatan pada 2011 dan kelab bola sepak India, East Bengal bermula musim 2015-2016.

Do Dong-hyun, TRW

Artikel Berikut

Artikel Lain