suria

Langkah Kafa Mengundur

Salim Mahmud Muhaidin. Foto: Sinar Harian

BEKAS pemain Kelantan, Salim Mahmud Muhaidin mengkritik Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengendalikan persiapan membentuk pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Salim Mahmud berkata, pendekatan Kafa mencari pemain menerusi pemilihan merupakan langkah undur ke belakang memandangkan pembentukan skuad senior melalui kaedah itu sudah tidak diguna pakai dalam era bola sepak moden.

“Saya boleh katakan ia ketinggalan zaman. Tak kiralah Kafa nak ambil seorang atau dua pemain ke, cara itu memang dah tak sesuai. Seolah-olah mereka tak ada sistem (pilih pemain), kalau untuk peringkat amatur boleh tapi ini era bola sepak profesional.

“Setakat buat pemilihan sehari dua, apa yang mereka (panel pemilihan) nampak. Pemain mungkin bagus pada hari pemilihan tetapi belum tentu esok lusa mereka bagus,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Baru-baru ini, panel pemilihan Kafa mengadakan pemilihan tertutup dengan memanggil seramai 40 pemain yang beraksi dalam saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Zon Timur untuk diserap masuk ke skuad The Red Warriors itu.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu memberitahu, jika serius mahu mendapatkan pemain berkualiti, Kafa perlu menghidupkan semua pertandingan liga tempatan dan bukan menerusi pemilihan singkat seperti itu.

Seorang lagi bekas pemain negeri itu, Afandi Yusof turut mempertikaikan tindakan Kafa kerana tiada keperluan bagi badan induk itu mengadakan pemilihan dan menganggap kaedah tersebut hanya membazir masa dan tenaga.

“Kita sudah ada produk skuad Piala Presiden, sepatutnya angkatlah mereka ke skuad utama. Apa guna ada pemain pelapis kalau mereka yang sudah bermain lebih 20 perlawanan kompetitif ini tidak diberi peluang.

“Bagi saya, kalau nak buat pemilihan boleh, tapi untuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia sahaja bukan bagi skuad utama. Mana ada pasukan negeri di Malaysia pilih pemain dengan cara seperti ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan tidak meminggirkan sumbangan bekas pemain kerana mereka bersedia bila-bila masa berkongsi idea demi pembangunan bola sepak negeri itu.

“Kita bukan dengki atau cemburu, tapi seeloknya panggillah kami untuk tolong negeri.

Ramai pemain dah pencen dan saya rasa kita tak ada masalah nak bantu Kafa,” katanya.

Kafa, Salim

Artikel Sebelum

Bapa OK Neymar Ke Real Madrid

Artikel Berikut

Delac Bakal Tinggalkan Chelsea

Artikel Lain