suria

Beto Intai Tempat Dalam Kesebelasan Utama

Skuad Harimau Malaya bergambar di KLIA sebelum berlepas ke Thailand untuk menentang Korea Utara pada pusingan kelayakan Piala Asia 2019, Selasa. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri mengintai peluang untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya pada dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Thailand, 10 dan 13 November ini.

Jelas Ahmad Khairil Anuar yang mesra dipanggil Beto, beliau mahu membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Nelo Vingada sekiranya diturunkan dalam dua perlawanan tersebut.

Untuk rekod, pemain sayap skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan itu disenaraikan buat julung kalinya untuk menyarung jersi skuad senior kebangsaan.

“Walaupun ini merupakan panggilan pertama menyertai skuad kebangsaan, saya berharap dapat disenaraikan untuk beraksi dalam satu daripada perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sebelum skuad negara berlepas ke Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Selasa.

Dalam pada itu, pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih turut berharap dapat membantu skuad kebangsaan mencatat kemenangan selepas disisihkan pada aksi berdepan Hong Kong sebelum ini akibat masalah keluarga.

“Saya harap rakan sepasukan dapat beri persembahan yang terbaik walaupun beberapa kali perlawanan ini ditunda kerana misi utama kita di Thailand nanti adalah memburu keputusan positif berdepan Korea Utara,” katanya.

Sementara itu, Vingada yakin anak buahnya akan mempamerkan aksi terbaik dalam dua perlawanan itu walaupun tanpa kehadiran beberapa tonggak utama akibat kecederaan.

Pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar dan penyerang Johor Darul Ta'zim, Darren Lok tidak diturunkan untuk perlawanan itu setelah mendapat kecederaan semasa final Piala Malaysia antara kedua-dua pasukan pada Sabtu lepas.

Mereka digantikan Ahmad Khairil Anuar dan pemain sayap Felda United, Muhammad Hadin Azman.

"Kami hanya berpeluang menjalani latihan beberapa hari sebelum berlepas ke Thailand memandangkan kedua-dua pemain Kedah dan JDT terbabit dalam perlawanan final Piala Malaysia, tetapi saya lihat pemain dalam keadaan motivasi yang tinggi menjelang dua perlawanan penting ini,” kata Vingada.

Korea Utara bakal menjadi tuan rumah untuk aksi pertama pada 10 November sebelum Malaysia menjadi tuan rumah untuk aksi timbal balik pada 13 November ini dengan kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium i-mobile, Buriram, Thailand.

Perlawanan itu pada mulanya dijadualkan pada 28 Mac di Pyongyang dan ia ditangguhkan ke 8 Jun, berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia, selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di klia2 pada 13 Februari.

Perlawanan itu sekali lagi ditunda ke 5 Oktober, hanya lima hari sebelum aksi menentang Hong Kong pada 10 Oktober yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2.

Malaysia kini menduduki tangga terakhir daripada empat pasukan dalam kumpulan B pusingan kelayakan Piala Asia 2019 dengan kutipan satu mata setelah mengharungi tiga perlawanan. - BERNAMA

Beto, Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Moyes Pengurus Baharu West Ham

Artikel Lain