suria

Suwaibah Dilantik Ikon Sukan TUDM

Affendi memakaikan pangkat kepada Suwaibah pada Majlis Pemakaian Pangkat Mejar Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) di Wisma Pertahanan, Jumaat. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelantikan pelari solo wanita negara Suwaibah Muhammad Nasir sebagai ikon sukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mampu menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang mahu menceburkan diri dalam bidang sukan, kata Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata pelantikan Suwaibah dengan pangkat Mejar Kehormat (K) Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (PSSTUDM) adalah berdasarkan pencapaiannya di peringkat antarabangsa selain mengharumkan nama negara dan TUDM.

“TUDM sememangnya mengiktiraf dan memberi anugerah terhadap pencapaian dan rekod cemerlang setiap individu yang membawa nama negara ke persada antarabangsa.

“Selain Suwaibah, Ratu Skuasy dunia, Datuk Nicole Ann David dan juruterbang termuda pesawat solo mengelilingi dunia, Kapten James Anthony Tan juga turut menerima pengiktirafan sedemikian daripada TUDM.

“Suwaibah merupakan seorang olahragawati terkenal negara yang telah mencipta rekod dunia seperti berlari 1,111 km merentasi Gurun Sahara dan  Laluan Sutera serta mengangkat martabat wanita Malaysia dalam 10 pengiktirafan oleh Malaysia Book Of Records di abad ini,” katanya selepas majlis pemakaian pangkat Kehormat PSSTUDM di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan (MINDEF), di sini Jumaat.

Affendi berkata pengiktirafan seperti itu mampu menaikkan semangat mereka dalam memberi sumbangan terhadap TUDM secara ilmiah dan ciptaan serta secara keseluruhan kepada negara.

Sementara itu, Suwaibah yang merupakan bekas olahragawati TUDM berkata beliau kini komited untuk meneruskan misi keduanya iaitu misi menawan 30 puncak menara tertinggi di dunia.

Beliau berhasrat untuk melengkapkan objektif utama dengan membawa mesej ‘1 World 1 Hope' dalam misi Keamanan Dunia Sejagat dengan membuat persinggahan ke kem pelarian di seluruh dunia antaranya seperti Asylum Kem Belgrade dan Serbia.

“Misi ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Jan tahun hadapan. Ketika ini saya hanya fokus pada latihan meningkatkan keupayaan, ketahanan dan disiplin,” katanya. - BERNAMA  

Suwaibah, pelari solo, TUDM

Artikel Sebelum

Kaki Cazorla Nyaris Dipotong

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain