suria

Felda United Ke Liga Perdana?

PETALING JAYA: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak menolak kemungkinan Felda United akan digugurkan ke pentas Liga Perdana musim depan selepas rayuan permohonan lesen berstatus kelab mereka tidak diluluskan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam berkata semua pasukan yang akan berentap di Liga Super perlu mendapatkan lesen sebagai sebuah kelab musim ini.

"Ada kemungkinan... ini kerana setiap pasukan perlu ada lesen untuk menyertai saingan Liga Super. Mana-mana pasukan yang tidak memiliki lesen tidak dibenarkan bertanding," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun tegas Kevin, status penyertaan pasukan kendalian jurulatih B. Sathianathan itu dalam saingan Liga Super akan ditentukan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah badan pentadbir Liga Malaysia berkenaan.

"Kita masih menunggu huraian keputusan jawatankuasa Badan Rayuan (AB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Selepas itu ia akan dimajukan kepada Lembaga Pengarah FMLLP yang akan membuat keputusan berkenaan penyertaan pasukan itu," katanya.

Kevin berkata keputusan mengenai status Felda United akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

"Status perlu disahkan Lembaga Pengarah FMLLP... mungkin semua ambil masa dalam seminggu," katanya.

Status penyertaan Felda United untuk kekal beraksi dalam saingan liga elit itu menjadi teka-teki selepas rayuan kali kedua mereka untuk mendapatkan lesen kelab tidak diluluskan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Felda United masih gagal memenuhi salah satu daripada enam kriteria yang ditetapkan iaitu kewangan, meskipun tempoh lanjutan telah diberikan.

Felda United menamatkan kempen musim lalu di tangga ketiga, ketinggalan satu mata di belakang naib juara, Pahang.

Menurut FAM, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Untuk makluman, Lesen FAM yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan.

Namun jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

Felda United, FMLLP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pogba Perkuat United Lawan Chelsea

Artikel Lain