suria

Status Lesen Kelab Untuk Kedah, Melaka United Terjawab

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Kedah dan Melaka United turut berjaya mendapatkan lesen kelab bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018 selepas Kelantan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata rayuan ketiga-tiga pasukan itu diluluskan Badan Rayuan (AB) Pelesenan Kelab FAM pada mesyuarat yang diadakan Jumaat lalu oleh ahli-ahli jawatankuasa badan bebas.

"Dengan ini saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kelab-kelab yang telah menunjukkan kesungguhan dalam memastikan mereka akhirnya dapat juga memenuhi kriteria yang ditetapkan meskipun permohonan awal mereka sebelum ini ditolak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun jelas Hamidin, lesen yang diberikan kepada tiga pasukan itu hanya merupakan lesen FAM dan tidak membabitkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pada masa sama, Hamidin berkata dua lagi pasukan yang ditolak permohonan lesen terbabit sebelum ini iaitu Felda United dan Sarawak turut gagal dalam rayuan kali kedua mereka.

"Kedua-dua pasukan itu masih gagal memenuhi salah satu daripada enam kriteria yang ditetapkan iaitu kewangan, meskipun telah diberikan tempoh lanjutan,” katanya.

FAM dalam satu kenyataan pada 7 September lalu mengumumkan sebanyak tujuh daripada 12 kelab yang beraksi pada Liga Super 2017 iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), PB Pahang, PB Perak, PKNS FC, PB Pulau Pinang, PB Selangor dan  T-Team FC lulus dalam permohonan mendapatkan lesen FAM.

Malah daripada tujuh pasukan yang telah mendapat lesen dari First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM sebelum ini, empat daripadanya iaitu JDT, PB Pahang, PKNS FC dan PB Selangor turut lulus  permohonan mendapatkan lesen kelab AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak.

Kelulusan berkenaan diputuskan pada mesyuarat FIB yang dipengerusikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos lalu.

Menurut FAM, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Untuk makluman, Lesen FAM & AFC yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan.

Namun jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

Kedah, FAM, Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chelsea 'Tunggu Masa' Pecat Conte

Artikel Lain