suria

Lesen: Kelantan Lega

PETALING JAYA: Kelantan akhirnya menarik nafas lega apabila rayuan mereka bagi mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diluluskan pada malam Rabu.

Dengan keputusan terbaharu itu, skuad The Red Warriors (TRW) boleh beraksi dalam saingan Liga Super 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, mereka telah menerima surat rasmi daripada FAM memaklumkan mengenai perkara tersebut menerusi kiriman e-mel kira-kira pukul 7.16 malam.

“Alhamdulillah... sebentar tadi Kafa telah menerima surat rasmi daripada FAM yang menyatakan rayuan kami diterima sekali gus membolehkan Kelantan diberi lesen untuk beraksi dalam Liga Super 2018.

“Saya amat gembira apabila sebuah harapan yang dinantikan semua penyokong apatah lagi Kafa akhirnya tercapai,” katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau, perkhabaran gembira itu merupakan titik tolak kepada Kelantan untuk merangka pelan terbaik buat pasukan dalam menghadapi saingan Liga Super yang lebih mencabar pada musim depan.

“Perkara yang tertangguh sebelum ini akhirnya sudah selesai. Selepas ini Kafa akan memperkemaskan barisan pemain tempatan, import dan juga jurulatih.

"Terima kasih kepada semua yang membantu dan bertungkus lumus bagi memenuhi syarat yang perlu dipenuhi Kelantan untuk mendapatkan lesen kelab,” katanya.

Kelantan menjadi pasukan kelapan yang telah mendapat kelulusan dalam mesyuarat First Instance Body’ (FIB) Perlesenan Kelab FAM selepas Perak, Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Selangor, Pulau Pinang, t-Team dan PKNS FC.

Pada 9 September lalu, FAM mengumumkan bahawa permohonan lima pasukan Liga Super membabitkan Kelantan, Felda United, Kedah, Melaka United dan Sarawak ditolak kerana gagal menepati enam kriteria utama ditetapkan.

Antara kriteria utama diambil kira adalah kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Bagaimanapun, Kelantan telah mengemukakan rayuan dengan mengemaskini dan menyerahkan semua dokumen tambahan yang diperlukan kepada Badan Rayuan Perlesenan FAM pada 14 Oktober lalu.

Kelantan, Lesen FAM

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain