suria

Siapa Raja Bola Sepak Negara? Ini Komen Penyokong Selangor

PETALING JAYA: Penyokong bola sepak Selangor mengiktiraf pasukan yang memenangi trofi Piala Malaysia Sabtu ini sebagai 'Raja' bola sepak di negara ini.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) Mohd Faizal Wahid berkata pasukan yang bergelar juara pada pertembungan itu iaitu antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) layak diangkat sebagai pasukan terhebat kerana Piala Malaysia merupakan kejohanan berprestij dan antara yang tertua di rantau Asia.

"Raja bola sepak adalah merebut kejuaraan itu sendiri. Siapa paling hebat adalah mereka yang dah bermain dari awal hingga ke final. Jadi kalau bukan pasukan terbaik saya rasa Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) tak akan smpi tahap final... mereka mungkin tersingkir awal.

"Mengikut sejarah Piala Malaysia adalah piala terulung tertua di benua Asia. Jadi saya rasa siapa yang menang itu adalah pasukan terbaik dan layak diangkat sebagai 'Raja' bola sepak Malaysia," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun, Mohd Faizal menyifatkan kenyataan JDT bahawa mereka tidak perlu memenangi Piala Malaysia untuk membuktikan siapa 'raja bola sepak Malaysia' sebagai satu perang psikologi menjelang aksi penting Sabtu ini.

"Mungkin mereka bercakap dari segi faktor kejayaan yang telah mereka kecapi. Tapi saya rasa ini mungkin sekadar perang psikologi daripada mereka.

"Saya berpendapat JDT mungkin ada helah tersendiri. Saya tak fikir mereka tak mahu menang trofi tersebut memandangkan ia satu-satunya trofi yang belum pernah mereka menangi," katanya.

Jelas Mohd Faizal, kedua-dua pasukan yang berentap di final nanti iaitu Kedah dan JDT masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Namun beliau percaya Kedah mempunyai kelebihan untuk bergelar juara.

"Tak dinafikan kedua-dua pasukan seimbang, sama-sama kuat tapi Kedah ada kelebihan kerana mereka memang konsisten sejak akhir-akhir ini.

"Malah ini juga aksi final mereka buat kali ketiga berturut-turut. Jadi Kedah ada peluang dan tiada masalah untuk menjuarai Piala Malaysia," katanya.

Mohd Faizal turut meramalkan pasukan kendalian ketua jurulatih Nidzam Adzha Yusoff itu akan menundukkan juara Liga Super, JDT menerusi penentuan sepakan penalti.

"Ramalan saya mungkin perlawanan terikat 1-1 tapi Kedah akan menang dengan penalti 5-4," katanya.

Kedah dan JDT mengesahkan kemaraan di pentas final selepas menundukkan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua 21 Oktober lalu.

Skuad Lang Merah layak ke saingan akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Felda United 2-0 manakala JDT mencatat kemenangan 3-0 ke atas Perak.

Untuk rekod, Kedah sudah menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA pada musim ini manakala JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Kedah turut memenangi kejohanan Piala Malaysia sebanyak lima kali manakala Johor pernah muncul juara Piala Malaysia dua kali pada 1985 dan 1991.

Kedah, JDT, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain