suria

Jafri Chew Mahu ‘Angin’ Baharu

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya saya mencari pengalaman di tempat lain, ujar penyerang muda kebangsaan.

Penyerang Pulau Pinang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew mengakui dia mahu meninggalkan Harimau Kumbang sebaik sahaja tamat saingan Liga Malaysia musim ini.

"Memang bercadang untuk mencari pengalaman baharu. Lagi pun saya masih muda. Kalau hanya kekal di satu tempat sahaja, bagaimana bakat saya akan berkembang?.

"Sepanjang dua tahun bersama Pulau Pinang, banyak pengalaman yang saya pelajari," ujarnya kepada mStar Online.

Jafri (kanan) bersaing merebut bola dengan pemain T-Team dalam aksi Liga Super April lalu.

Bagaimana pun bekas pemain Harimau Muda ini enggan mendedahkan jersi pasukan baharu yang akan disarungkan musim depan.

"Ada dua tiga pasukan yang masih dalam perbincangan. Semuanya pasukan  yang bersaing dalam Liga Super di Lembah Klang. Tunggulah selepas tamat saingan liga tamat. Kami ada satu lagi perlawanan.

"Sama sekali tidak ada perbincangan dengan kelab di bahagian selatan, " ujarnya.

Penyerang Bawah 22 Tahun itu memberitahu, selain daripada mencari pengalaman dan sentuhan jurulatih baharu di pasukan lain, ada alasan lain yang bermain di fikirannya.

"Kalau boleh saya mahu kekalkan permainan bersama skuad Liga Super. Bermain dengan senior serta cabarannya lebih sukar.

"Saya ingin pergi lebih jauh, dan apa sahaja peluang baik yang hadir, sudah tentu tidak lepaskannya," ujarnya.

Dalam pada itu, Pulau Pinang bakal berdepan dengan Selangor pada aksi terakhir Liga Super musim  pada 28 Oktober ini.

Pulau Pinang kini berada di tangga tercorot liga apabila hanya mengumpul 12 mata daripada 21 perlawanan sekaligus disingkirkan ke Liga Perdana musim depan.

Jafri Firduas Chew, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain