suria

Mengapa Ramai Mengada-Ngada? - Hamidin

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tampil mengutarakan pandangannya mengenai 'isu' yang hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong sukan nombor satu negara masa kini.

Paling utama, katanya, penyokong bola sepak tanah air perlu membuat penilaian berpandukan fakta.

"Pertama, pasukan kebangsaan telah lama tidak berada dalam prestasi yang baik. Jadi ia adalah tugas kami untuk mencari formula baharu untuk memperbaikinya.

"Kedua, ramai yang menyuarakan rasa berkecil hati apabila Tunku Mahkota Johor mengatakan beliau hanya ‘part time’ (kerja separuh masa) di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedangkan kenyataan itu adalah betul. Ini kerana semua exco adalah part time

"Semua yang ada dalam persatuan bola sepak negeri masing-masing juga part time. Jadi ianya memang betul, kerana tugas dan tanggungjawab pertama beliau adalah berkhidmat kepada negeri Johor," jelasnya dalam satu kenyataan.

Jelas Hamidin, presiden FAM adalah Tunku Mahkota Johor sekaligus bola sepak bukanlah kerja sepenuh masanya.

"Mengapa ramai yang begitu mengada-ngada sangat? Saya lihat apabila penyokong kita mencaci, memaki dan segala perkara seperti ini secara jelas menunjukkan negara kita bukan seperti negara maju. Ia seperti ‘low class minded’.

"Malahan, jikalau Tunku Mahkota Johor keluar (letak jawatan), FAM akan menjadi lebih teruk.

"FAM kini sedang berhutang RM49 juta, dan tidak ada duit pun untuk tahun hadapan.

"Sekarang ini ada banyak syarikat yang hendak meletakkan duit disebabkan kepimpinan Tunku Mahkota Johor.

"Jikalau beliau angkat kaki, pastinya syarikat-syarikat tersebut yang hendak membuat pelaburan RM60 juta, RM70 juta atau RM80 juta itu, semuanya akan menarik diri.

"Apabila perkara sedemikian berlaku, maka semakin teruklah pasukan yang bertanding," tambah Hamidin.

Hamidin memberitahu, ideologi Tunku Ismail adalah untuk memberi RM6 juta hingga RM7 juta kepada setiap pasukan yang bertanding.

"Kemungkinan pada tahun pertama akan diberi RM3 juta dahulu.

"FAM yang terdahulu memberi paling banyak pun tidak sampai RM400,000, namun Tunku Mahkota hendak memberi RM3 juta untuk tahun pertama dan tahun kedua, seterusnya meningkat sehingga mencecah RM6 juta hingga RM7 juta.

"Tetapi jikalau beliau tiada, penaja akan keluar (menarik diri). Baginda tidak akan susah kerana JDT sentiasa berduit, tetapi bagaimana dengan pasukan-pasukan lain pula.

"Jadi kalau hendak menilai, buatlah penilaian dari segi realistik. Jangan sedap ikut hati sahaja. Fikir baik-baik," luahnya.

Hamidin Mohd Amin, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain