suria

Badminton: Seu Bock Fokus Tingkat Mental Pemain Wanita

MELAKA: Jurulatih badminton perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock meletakkan fokus untuk meningkatkan daya ketahanan mental pemain perseorangan wanita negara dalam usaha memperbaiki corak permainan mereka.

Beliau berkata daya ketahanan mental yang tinggi adalah faktor terpenting dalam memastikan pemain itu mampu bermain konsisten dan dapat mengawal permainan dengan baik meskipun berada dalam keadaan  tertekan.

Katanya ketahanan mental yang tinggi itu juga memainkan peranan dalam memastikan setiap pemain  tidak berputus asa di tengah-tengah permainan, namun beliau mengakui usaha meningkatkan daya mental itu adalah satu daripada cabaran getir buat barisan jurulatih wanita negara.

"Saya lihat pemain wanita masih banyak perlu diperbaiki terutama dari sudut mental dan corak permainan. Buat masa ini saya kena persiapkan mereka dan ini mengambil masa panjang kerana bukan mudah (kerana) dari segi mentaliti itu mereka kurang," katanya kepada Bernama.

Tey berkata proses pembangunan dalam melahirkan lebih ramai pemain berprestasi tinggi memerlukan tumpuan secara khusus yang merangkumi pelbagai aspek.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2018 yang dijadual berlangsung di Bandaraya Gold Coast, Australia pada 4 hingga 15 April tahun depan, Tey berkata latihan sedang giat dijalankan bagi menyediakan pemain untuk sukan itu.

"Kita perlukan tahap keyakinan yang tinggi daripada pemain untuk berjuang bersungguh-sungguh dalam menghadapi temasya sukan itu kerana setiap perlawanan tidak sama.

"Sasaran untuk Sukan Komanwel masih belum ada memandangkan kita ada beberapa bulan lagi...baru perancangan. (Namun) kita sudah ada senarai (pemain) dan telah dihantar namun masih belum diluluskan lagi," katanya.

Beliau berkata pemain tidak akan diberikan sebarang tekanan yang boleh mengganggu prestasi mereka dan hanya mengharapkan mereka beraksi dengan cemerlang.- Bernama

Datuk Tey Seu Bock

Artikel Sebelum

Perez Juara CIMB Classic 2017

Artikel Berikut

Artikel Lain