suria

Tambah Pemain Import Tak Buat Liga M Hebat, Gah

PETALING JAYA: Kehadiran lima atau enam orang pemain import bukanlah tiket untuk menjadikan Liga Malaysia hebat atau gah, jelas bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak negara, Khalid Ali.

Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan ini mengakui cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah kuota pemain import bagi musim akan datang adalah sesuatu yang baik bagi menyemarakkan sukan bola sepak negara serta menambah tarikan di luar Malaysia.

"Semua ada pro dan kontra. Cuma apa yang harus kita lakukan adalah memberi tumpuan kepada kebangkitan pemain tempatan.

"Ramai pemain tempatan yang berada dalam pasukan hebat tetapi tidak bermain.

"Ini bukan kerana kehadiran pemain import tetapi memang pemain kita tidak maju kerana program pembangunan yang tidak cukup dan betul," ujarnya kepada mStar Online.

Mengulas lanjut mengenai program pembangunan, Khalid berkata, seseorang pemain hebat bermula dari bawah.

"Program pembangunan memerlukan tempoh lima hingga sepuluh tahun untuk menampakkan hasil atau melahirkan pemain yang lebih berbakat.

"Selepas itu, jurulatih juga perlu menjadi lebih baik kerana mereka yang akan memastikan sama ada pemain itu berjaya atau ke peringkat yang lebih  baik.

"Kita tengok sekarang, ada jurulatih yang telah melatih pasukan 15 atau 20 tahun. Tak ada juga pemain hebat yang dilahirkan. Jadi kita perlu seimbangkan pemain tempatan dan import kerana pemain kita agak jauh ketinggalan dengan mereka.

"Pemain import yang datang ke sini bukannya bagus sangat. Mungkin mereka hanya Gred C atau D. Liga kita pun gred D, jadi dapatlah pemain yang gred D. Dan kalau ada pemain import yang bagus seperti gred B, pemain kita pula gred apa?.

"Tambah pula tahap liga kita bukannya memuaskan. Dari segi kehebatan liga, kita belum nampak sangat," jelas Khalid.

Ditanya mengenai cadangan yang terlintas di fikirannya untuk meningkat gred pemain-pemain tempatan, Khalid berkata, FAM perlu melaksanakan liga separuh profesional.

"Kita sudah ada liga profesional, jadi FAM boleh adakan satu lagi liga khas untuk pemain-pemain tempatan sahaja. Mana-mana yang terbaik, hebat boleh menyertai liga profesional.

"Mungkin ia boleh berjaya jika FAM cuba melaksanakannya. Setakat ini saya tidak nampak program pembangunan yang dilakukan FAM walaupun berubah peneraju baharu badan induk bola sepak negara," ujarnya.

Sebelum ini, FAM bercadang untuk menambah kuato pemain import daripada empat ke lima orang untuk saingan musim depan.

Bagaimanapun, ia akan diputuskan oleh FAM pada mesyuarat exco yang akan datang.

Pemain Import

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain