suria

Kekalkan 14 Oktober - Pafa

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) telah menghantar surat rasmi kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP)  memohon agar dikekalkan tarikh 14 Oktober depan bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Ipoh.

Presidennya Datuk Abdul Puhat Mat Nayan berkata surat itu  dihantar pada 26 September lepas namun sehingga kini belum ada kata putus daripada FMLLP.

"Kita harap FMLLP beri pertimbangan sewajarnya kerana 14 Oktober itu merupakan hari Sabtu, jadi memudahkan orang ramai untuk ke stadium kerana esoknya masih merupakan cuti hujung minggu," katanya yang ditemui selepas merasmikan Kejohanan 3x3 Ipoh Circuit Malaysia 2017 di AEON Big Falim, di sini.

Katanya Pafa berharap FMLLP bersetuju dengan tarikh itu bagi memudahkan puluhan ribu penyokong The Bos Gaurus  dari seluruh negeri turun memberikan sokongan.

Sebelum ini, FMLLP  menghantar surat kepada Pafa memaklumkan  aksi separuh akhir pertama antara Perak dan JDT diadakan pada 15 Oktober di Stadium Ipoh.

Namun, perkara itu tidak dipersetujui Pafa kerana FMLLP didakwa menetapkan tarikh berkenaan tanpa membuat sebarang perbincangan.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Pafa Ahmad Shahrul Azhar Sofian ketika dihubungi Bernama, berkata Pafa sedikit terkilan namun tetap optimis FMLLP akan menerima rayuan PAFA.

"Kita harap FMLLP bersetuju. Lagi pun ini aksi terakhir Perak di gelanggang sendiri dan biarlah ia ditamatkan dengan suasana yang meriah daripada sokongan puluhan ribu penyokong," katanya yang berharap FMLLP akan memberi jawapan dalam masa terdekat bagi memudahkan penyokong membuat perancangan. - BERNAMA

Pafa, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain