suria

“Tak Terkesan Pun Dengan Mourinho”

Andreas Pereira

PEMAIN tengah berbakat besar ini sedar bahawa keputusannya menyertai Valencia dipertikaikan oleh bosnya di Old Trafford.

Bagaimanapun dia menganggap apa yang dinyatakan oleh Jose Mourinho itu sebagai sesuatu yang positif.

Andreas Pereira menegaskan dia tidak terguris hati dengan kritikan Mourinho tentang keputusan yang dibuatnya untuk meninggalkan Manchester United sebaliknya memilih untuk menyertai Valencia secara pinjaman.

Bos Red Devils itu menyuarakan kekecewaannya selepas perjanjian jangka pendek untuk pemainnya itu ditolak.

Mourinho kemudian berkata bahawa pemain berusia 21 tahun itu sepatutnya bertahan di Old Trafford dan berjuang untuk mendapatkan tempatnya setelah menandatangani kontrak baharu dengan kelab.

Mourinho bagaimanapun menambah bahawa United mempunyai pilihan untuk memendekkan perjanjian sepanjang musimnya itu pada Januari jika mereka mahu melakukannya.

Pereira berharap perkara ini tidak akan berlaku.

Pemain antarabangsa skuad B-23 Brazil ini berharap untuk mempamerkan aksi terbaik di La Liga sekali lagi selepas menghabiskan masa bersama Granada pada 2016/17.

Dia mahu membuktikan bahawa komen yang dibuat oleh pengurusnya di England itu didorong oleh kekecewaan setelah melihat bakat yang ada pada dirinya diketepikan dari skuad pilihan utamanya.

Dia memberitahu Marca: "Sukar sebab mereka mahu saya kekal di Manchester, tetapi bagi saya secara individu dan dari segi pilihan untuk bermain, lebih baik berada di sini."

Pereira menambah mengenai pertikaian Mourinho tentang keputusan yang dibuatnya: "Saya tak rasa terkesan pun, saya telah bercakap dengannya sebelum datang ke sini.

"Dari satu segi saya gembira kerana dia sukakan saya dan jika dia fikir saya bukan pemain yang baik, dia tidak mahu saya kekal. Jadi saya berfikir yang baik-baik.

"Jika saya fikir negatif ia mungkin menyakitkan, tetapi bagi saya, ia satu perkara yang baik. Saya telah bercakap dengannya sebelum datang ke sini dan saya mahu bekerja keras sepanjang tahun. Saya fokus di sini.

"Saya mahu berada di sini dan membantu pasukan sepanjang tahun, sedangkan saya tak tahu apa yang United mahu pada masa depan. Saya mahu menyumbang yang terbaik dan melakukan yang terbaik sepanjang tahun di Valencia."

Pereira membuat 37 penampilan untuk Granada dalam semua pertandingan musim lalu dan pertama kali bermain bersama Valencia dalam pertandingan menentang Atletico Madrid yang berakhir 0-0.

Dia hanya tampil dalam 13 perlawanan dengan United dengan semua perlawanan ketika United diterajui Louis van Gaal. -goal.com

Andreas Pereira, JOse Mourinho

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain