suria

Gugur Pemain Import Kurang Menyerlah - KFA

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak menolak kemungkinan  untuk menggugurkan seorang daripada empat pemain import pasukan itu dalam usaha memastikan Kedah  terus melakar kemenangan pada masa akan datang.

Naib Presiden KFA Datuk Badrol Hisham Hashim berkata ini kerana ada daripada kalangan pemain import berkenaan yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan.

"Tidak mustahil...ada kemungkinan (untuk menamatkan kontrak pemain import), namun perkara ini belum diputuskan lagi...kita akan tengok dahulu kontrak perjanjian pemain-pemain ini.

"Bagi saya mudah, kalau pemain itu tunjuk komitmen dan semangat pasukan yang tinggi kita akan kekalkan, kalau kita tengok persembahan merosot mungkin kita akan gugurkannya daripada pasukan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan Piala Malaysia Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman di sini malam Sabtu.

Ketika ini Kedah mempunyai empat pemain import iaitu Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Zachary Michael Anderson dan Ken Ilso Larsen.

Katanya ia adalah perkara biasa bagi setiap pasukan untuk melihat semula persembahan pemain-pemainnya terutamanya pemain import memandangkan setiap persatuan membelanjakan wang yang banyak bagi membayar elaun dan gaji mereka.

"KFA membayar gaji dan elaun yang tinggi kepada mereka dengan harapan mereka akan menunjukkan permainan yang baik tapi jika dilihat semakin merosot, kita terpaksa menggugurkan mereka kerana kita lebih sayang pasukan.

"Kita kena bersedia...ini sebab pasukan lain mungkin akan buat transformasi dan kalau tidak melakukan perkara yang sama, pasukan kita tidak boleh bersaing," katanya. 

KFA, pemain import

Artikel Sebelum

Mane Minta Maaf

Artikel Berikut

Artikel Lain