suria

Lesen Kelab: Kedah, Melaka Buat Rayuan

Aminuddin Omar

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) berharap rayuan untuk mendapatkan lesen berstatus kelab daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjalan lancar.

KFA dan Musa antara lima pasukan Liga Super 2017 termasuk Felda United FC, Kelantan FA,  dan Sarawak FA yang telah ditolak permohonan untuk mendapatkan lesen kelab daripada FAM dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, KFA telah menghantar kembali rayuan dan kelengkapan yang diperlukan.

"KFA ditolak kerana hanya satu perkara sahaja iaitu mengenai penyata akaun persatuan tidak lengkap.

"Jadi kita hantar sekali lagi  penyata-penyata kewangan kita dan surat rayuan.

"Pertengahan bulan September ini mereka akan bermesyuarat sekali lagi dan harap-harap semuanya okay.

"Setakat ini perkara itu sahaja yang tidak lengkap, yang lain rasanya kami sudah lakukan yang terbaik.

"InsyaAllah kalau tidak ada lagi masalah lain, kita akan dapat lesen itu nanti," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Dalam pada itu Timbalan Presiden Musa, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan punca kegagalan persatuan itu mendapatkan lesen tersebut.


"Kami bukan tak dapat tetapi 'pending' kerana laporan audit yang dihantar kepada mereka bukan yang original.

"Sebaliknya sebelum ini Melaka menghantar salinan audit sahaja.

"Jadi kami dah menghantar laporan audit yang asli, itu sahaja yang mereka perlukan.

"Saya rasa itu sahaja masalahnya, dan saya jangkakan semua akan selesai dan lulus selepas ini," katanya.

Selain itu, sebanyak tujuh daripada 12 pasukan yang beraksi di Liga Super telah mendapat kelulusan lesen kelab FAM bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018.

Menurut kenyataan FAM, perkara tersebut telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos lalu.

Tujuh pasukan berkenaan adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang FA, Perak FA, PKNS FC, Penang FA, Selangor FA dan T-Team FC.

"Daripada tujuh pasukan di atas, empat daripadanya iaitu JDT, Pahang FA, PKNS FC dan Selangor FA turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak," ujar Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan tersebut.

Setiap pasukan yang memohon lesen kelab perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Bagi pasukan-pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.

Lesen kelab FAM & AFC yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan Fifa dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

"Ini merupakan tahun penting dalam permulaan kita membangunkan pelesenan kelab ini yang mana kita telah menetapkan setiap pasukan yang ingin bertanding dalam saingan Liga Super 2018 serta pertandingan peringkat AFC bagi tahun 2018 perlu memiliki lesen kelab.

"Saya juga berbangga dengan usaha dan komitmen semua pasukan terlibat kerana ia satu cabaran yang besar memandangkan kebanyakan pasukan melalui proses permohonan lesen kelab ini buat pertama kali dan mereka berjaya melepasi enam kriteria utama yang telah ditetapkan itu," tambahnya.

Lesen Kelab, KFA, Musa

Artikel Sebelum

Zlatan Tayang Jersi

Artikel Berikut

Artikel Lain