suria

Kedah Ada Sehari Sahaja - Mohd Nidzam

MOHD Nidzam Adzha Yusof hanya mempunyai masa sehari sahaja untuk melakukan persediaan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Ketua jurulatih Kedah itu berkata, ini kerana sebahagian besar pemain utama yang mewakili negara akan kembali pada Jumaat untuk menjalani latihan.

Menurutnya, walaupun pemain berkenaan kembali lebih awal namun mereka diberi tempoh berehat sebelum kembali memperkuatkan skuad hijau kuning bagi melayan kunjungan Kelantan.

"Seramai 12 pemain yang mewakili skuad kebangsaan termasuk mereka yang memenangi pingat perak dalam Sukan SEA akan diberi cuti sehingga sehari sebelum kita menentang Kelantan untuk berehat secukupnya.

"Saya mempunyai hanya sehari sahaja untuk melakukan persediaan bersama semua pemain Kedah, tetapi pemain lain termasuk import telah menjalani latihan seperti biasa selepas cuti mereka tamat.

“Saya tidak khuatir mengenai kecergasan mereka kerana kesemua pemain yang bersama Harimau Malaya berada dalam keadaan bersedia dan cuti mereka juga tidak lama," katanya kepada mStar Online.

Menurut Mohd Nidzam, beliau kini hanya berharap pemain-pemain yang terlibat tidak mengalami kecederaan yang akan merencatkan aksi mereka bersama Kedah.

"Kita harap tonggak utama yang bersama skuad kebangsaan tidak mengalami kecederaan kerana Kedah bukan sahaja akan melalui baki tiga perlawanan Liga Super malah perlu berjuang mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

“Saya memang memerlukan khidmat kesemua kesebelasan utama ketika mengharungi Piala Malaysia dan Liga Super bagi memastikan kita terus mengekalkan rentak kemenangan seperti sebelum ini," jelasnya.

Beliau berkata, namun begitu, pemain simpanan yang ada juga boleh digunakan pada bila-bila masa kerana mereka juga mampu untuk melakukan yang terbaik seperti yang telah dipamerkan dalam perlawanan sebelum ini.

Katanya, kehadiran penyokong yang menjadi kekuatan Kedah selama ini pasti akan kembali membakar semangat pemain untuk memastikan mereka mencatat kemenangan di Stadium Darul Aman.


Nidzam, Kedah

Artikel Sebelum

Ronaldo Minta Bale Digugurkan

Artikel Berikut

Artikel Lain