suria

Hentikan Spekulasi Persaraan Chong Wei - Norza

KUALA LUMPUR: Peminat sukan badminton khususnya pemain perseorangan utama negara diminta tidak membuat spekulasi mengenai persaraan Datuk Lee Chong Wei berikutan kekalahan mengejut di Kejohanan Dunia semalam.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata buat masa ini, peminat perlu memberi peluang kepada Chong Wei untuk bertenang kerana pemain berusia 34 tahun itu sendiri berada dalam keadaan tertekan serta masih bersedih.

“Kita semua tahu Datuk Wira Lee Chong Wei ialah seorang legenda dan telah banyak menyumbang kepada negara. Kita menyeru kepada semua supaya tidak buat spekulasi.

“Kita biarkan dia bertenang, balik dan kita akan berbincang apakah perancangan seterusnya. Jangan beri tekanan kepada beliau,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Malaysia layak ke perlawanan akhir badminton berpasukan wanita Sukan SEA Ke-29 di Arena Axiata di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata BAM menghormati apa juga keputusan yang akan diambil oleh pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu.

Katanya, beliau banyak menerima mesej daripada ramai kenalan dan peminat sukan badminton yang menyatakan sokongan terhadap Chong Wei yang telah banyak mengharumkan nama negara.

“Saya semalam dah bercakap sendiri dengan Chong Wei dan kita di BAM dan peminat tentu saja berdukacita tapi beliau lebih berdukacita dan beliau sendiri berasa amat sedih.

“Namun saya tenangkan beliau dan katakan bahawa itu merupakan adat permainan dan beliau telah cuba melakukan yang terbaik,” katanya menurut Bernama.

Chong Wei mengalami kekalahan mengejut di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez di pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung di Emirates Arena, Glasgow, Scotland.

Jaguh badminton negara itu kalah selepas bertarung dalam rubber set dengan 19-21, 24-22, 17-21 dalam perlawanan selama 75 minit.

Kekalahan itu jelas tamparan buat Chong Wei yang dalam misi memburu gelaran juara dunia buat kali pertama, selepas sekadar tiga kali bergelar naib juara iaitu pada 2011, 2013 dan 2015.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain