suria

Pelakon, Pramugari Minat Aksi Azam Azih

Neera (kanan) bersama kakaknya ketika menyaksikan skuad negara pada perlawanan bola sepak KL2017.

PETALING JAYA: Teruja dengan gol yang dijaringkan pemain skuad Bawah 22 Tahun negara pada temasya Sukan SEA (KL2017), kelibat dua gadis cantik turut menjadi perhatian.

Malah kehadiran mereka ke Stadium Shah Alam menjadi tumpuan apabila lensa kamera turut terarah kepada mereka.

Menurut pelakon baharu, Nurazneera Azizi yang lebih dikenali dengan panggilan Neera, dia tidak menyangka kehadiran ke stadium menjadi tumpuan.

"Saya dan kakak (Zeera) memang minat sukan. Lagipun dulu kami juga aktif bersukan, main boling.

"Bila ada peluang, kami akan tengok 'game' bola. Saya pelik juga sebab jadi tumpuan," jelasnya kepada mStar Online.

Neera memberitahu pemain tengah dari Pahang menjadi tumpuan utamanya.

"Kami suka tengok Nor Azam Abdul Azih. Sebab dia pun pemain Pahang dan kami juga orang Pahang.

Nor Azam (tengah) meraikan jaringan gol ketika bertemu Singapura Rabu lalu.

"Bila dia jaringkan gol hari 'tu' (perlawanan bertemu Singapura) kami turut teruja.

"Saya hanya kenal dia melalui kawan-kawan penyokong Pahang, bukan secara peribadi," ujar pelakon Miss Kapten Cikgu Waiz itu.

Dalam pada itu pelakon berusia 19 tahun ini berharap skuad negara akan terus menang pada perlawanan seterusnya.

"Ikut perancangan, kami akan datang lagi ke stadium untuk bagi sokongan kepada pasukan Malaysia.

"Cuma saya berharap agar pasukan negara boleh buat yang lebih baik daripada perlawanan sebelum ini.

"Saya dengar pasukan Myanmar (21 Ogos) agak kuat jugak," tambahnya yang turut berlakon dalam drama bersiri Sedingin Cinta Antasya.

Pasukan Malaysia bakal berdepan pemegang pingat perak Sukan SEA 2015 Isnin ini.

Untuk rekod, Malaysia yang berada dalam Kumpulan A bersama Laos, Brunei, Singapura dan Myanmar.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu berjaya mencatat kemenangan ke atas Brunei dan Singapura sebelum ini.

Neera, Azam Azih

Artikel Sebelum

Fatin Tinggalkan Kem Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain