suria

Sandro Azam Ceriakan Penyokong Kedah

SANDRO Da Silva berazam menceriakan penyokong Kedah apabila turun menentang Pahang di Stadium Darul Makmur pada Sabtu malam.

Walaupun beraksi tanpa penggempur utama, Ken Ilso Larsen, Sandro tetap mahu mastikan skuad hijau kuning pulang dengan tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut.

Menurutnya, semua pemain yang bakal beraksi pada perlawanan malam ini mampu memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong kerana sebelum ini Kedah pernah beraksi tanpa Liridon Krasniqi dan Ilso.

“Saya menjanjikan yang terbaik demi memastikan tiga mata penuh kerana kemenangan akan memudahkan lagi hasrat kami untuk memastikan tempat kedua carta Liga Super musim ini.

“Kami masih memiliki barisan pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Amirul Hisyam Awang Kecik, Akram Mahinan, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Arif Farhan, Zachary Anderson serta Khyril Helmi Johari yang mampu memastikan cabaran sengit di tempat lawan.

“Sudah pasti Pahang memiliki kelebihan beraksi di stadium sendiri dengan sokongan ribuan penyokong  mereka tetapi kami sudah biasa dengan tekanan dan mampu menyerap tekanan," katanya kepada mStar Online.

Sandro menambah, musim ini adalah yang terbaik dari segi prestasinya selepas mengalami kecederaan tulang belakangnya pada musim lalu.

“Saya juga mahu mencatatkan nama sebagai penjaring pada perlawanan malam ini demi memastikan bukan sahaja kami tetapi penyokong juga gembira.

“Jika bukan saya yang menjaringkan gol, kami juga ada ada Baddrol, Arif Farhan, Fitri Omar, Syazwan  Akhyar, Syafiq Ahmad, Zachary, Amirul Hisyam serta Rizal Ghazali yang mamou menghasilkan gol," jelasnya.

Sandro selain itu mengharapkan kehadiran penyokong Kedah tanpa mengira lokasi dapat membakar semangat pemain untuk berjuang.

Dengan berbaki empat perlawanan, Kedah kini menduduki tangga kedua Liga Super dengan 34 mata, 11 mata ketinggalan di belakang pendahulu liga, JDT.

Kemenangan ke atas Pahang yang berada tangga ketiga dengan beza empat mata, pasti memberi kelebihan buat Kedah untuk melebarkan jurang kepada tujuh mata.

Kedah, Liga Super

Artikel Sebelum

Neymar Tidak Boleh Main?

Artikel Lain