suria

Kim Swee Yakin Kumpul Pemain Terbaik

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Bawah 22 Tahun kebangsaan menaruh keyakinan tinggi terhadap barisan pemainnya menjelang temasya Sukan SEA (KL2017) yang akan bermula kurang dua minggu lagi.

Skuad Datuk Ong Kim Swee kini dalam persiapan akhir memburu 'ibu emas' di Kuala Lumpur dan memastikan pemain terbaik sahaja dipilih.

Seramai 27 pemain dipanggil bagi menjalani latihan fasa akhir bermula Ahad ini sebelum menggugurkan tujuh pemain.

"Ini merupakan barisan terbaik yang dapat saya kumpulkan kecuali terpaksa menggugurkan Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak) yang tidak sempat cergas sepenuhnya menjelang Sukan SEA kali ini.

"Bagi saya, senarai 27 pemain ini merupakan barisan pemain yang lebih baik berbanding skuad 22 pemain ketika kita ke Bangkok bagi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018, tempoh hari.

"Apabila kem latihan bermula Ahad ini, saya mempunyai sesi latihan lebih kurang seminggu lagi sebelum saya memutuskan senarai akhir 20 pemain untuk didaftarkan pada 12 Ogos.

"Saya akan menggunakan tempoh seminggu ini untuk menilai 27 pemain ini bagi memastikan setiap posisi harus mempunyai pemain utama dan pengganti kerana kita tahu jadual Sukan SEA begitu padat.

"Jadi saya perlu fikirkan dari segi kecergasan pemain di mana 20 pemain yang akan dipilih nanti perlu bersedia untuk diturunkan pada setiap perlawanan jika kita layak sehingga ke final," jelasnya dalam satu kenyataan media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis.

Jelas Kim Swee, beliau memanggil kembali beberapa nama pemain yang tidak menyertai Kelayakan Piala Asia di Bangkok baru-baru ini.

"Saya dapat menyenaraikan Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih, selain memanggil Dominic Tan dan juga Ahmad Azriddin Rosli.

Matthew Davies

"Matthew dan Nor Azam pernah bersama saya ketika mengendalikan skuad Sukan SEA 2015 di Singapura, cuma Nor Azam digugurkan pada saat akhir.

"Jadi bagi saya, tiada masalah untuk pemain-pemain ini membentuk keserasian dengan pemain sedia ada, termasuk Dominic yang pernah bersama skuad B-22 sebelum ini ketika di bawah kendalian Frank Bernhardt.

"Yang penting, pemain-pemain baharu ini perlu berusaha merebut tempat dan pada masa sama sedia untuk bekerjasama antara satu sama lain," ujarnya.

Skuad B-22 kebangsaan bakal membuka kempen saingan Kumpulan A berdepan Brunei pada 14 Ogos diikuti aksi bertemu Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos).

Kesemua perlawanan berkenaan di Stadium Shah Alam, di mana sepak mula pukul 8.45 malam. Separuh akhir dijadual pada 26 Ogos, manakala aksi final pada 29 Ogos.

Senarai penuh pemain ke kem latihan akhir:

Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah), Akhyar Rashid (Kedah), Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Syafiq Ahmad (Kedah), Ariff Farhan Md Isa (Kedah), Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang), Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), S Kumaahran (Pulau Pinang), Haziq Nadzli (Johor Darul Ta’zim), Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim), Dominic Tan (Johor Darul Ta’zim), Adib Zainudin (Felcra FC), N Thanabalan (Felcra FC), Adam Nor Azlin (Selangor), Syahmi Safari (Selangor), Matthew Davies (Pahang), Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Danial Amier Norhisham (Felda United), Ahmad Azriddin Rosli 9Felda United), Irfan Zakaria 9Kuala Lumpur), Raphi Azizan Mariappen (Pj Rangers Fc), Syazwan Zaipol Bahari (Pknp Fc), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), Sean Eugene Selvaraj (Negeri Sembilan), Syazwan Andik Ishak (Johor Darul Ta’zim II),  Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Tommy Mawat Bada (Sarawak).

Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain