suria

Inter Ubah Fikiran

INTER Milan dilapor mahu menjual pemain bintangnya, Ivan Perisic kepada Manchester United bagi mengimbangi perbelanjaan kelab Itali itu.

Inter sebelum ini beberapa kali menolak tawaran United untuk membeli penyerang kelahiran Croatia itu walaupun pemain berusia 28 tahun tersebut sedia berpindah ke Old Trafford.

Menurut laporan portal Calciomercato, Inter meletakkan harga sebanyak 44 juta pound sterling ke atas Perisic dan mahu menggunakan dana tersebut membeli penyerang Lazio, Keita Balde.

Perjanjian mendapatkan Balde sudah mencapai tahap akhir tetapi Lazio mahu bayaran tambahan menyebabkan Inter perlu mendapatkan dana tambahan bagi memastikan perpindahan itu menjadi kenyataan.

Perisic merupakan modal terbaik Inter untuk dijual kepada United dan perpindahan pemain sayap itu ke Red Devils lambat laun pasti akan dimeterai.

Bos United, Jose Mourinho mengakui bahawa dia mahu seorang lagi pemain sayap dan berharap pembelian pemain bagi mengisi slot itu dilaksanakan secepat mungkin.

"Saya mahu seorang pemain tengah, yang boleh memberi lebih pilihan bagi mewujudkan keseimbangan dalam pasukan.

"Seorang lagi pemain adalah pemain sayap untuk memberi pilihan taktikal serangan tetapi saya tidak mahu bercakap tentang pemain yang masih menjadi milik kelab lain," katanya. - Metro.uk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mourinho Kerinduan

Artikel Lain