suria

Kuala Lumpur Kembali Ke Puncak Liga Perdana

Penjaga gol Negeri Sembilan Mohd Kaharuddin (kiri) berjaya menangkap bola dari kepala pemain Terengganu Lazaro Vinicius Martin Alves dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur kembali berada ke kedudukan teratas Liga Perdana selepas melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam Selasa.

Keputusan itu turut dibantu oleh pencabar terdekat, Terengganu yang gagal meraih mata penuh di laman sendiri selepas seri 2-2 menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada aksi di Melaka, pasukan Kuala Lumpur meraih tiga jaringan menerusi Ashri Chuchu pada minit ke-46, Paulo Josue Sturmer Do Reis pada minit ke-57 dan Guilherme de Paula pada minit ke-88.

Terdahulu, PDRM terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain antarabangsa Singapura, Mohd Yasir Hanapi menerima kad merah daripada pengadil pada minit ke-70 kerana mengasari pemain Kuala Lumpur.

Wakil Perak, PKNP FC turut meraih kemenangan setelah menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menerusi jaringan Muhamad Shahrel Fikri pada minit ke-43 dan Mohd Hafiz Ramdan pada minit ke-71.

Dalam pada itu, pasukan MISC-MIFA meraih kemenangan selesa 6-3 ke atas wakil Pahang, Kuantan FA pada aksi di Stadium Proton, Tanjung Malim.

Enam gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Jaepil Shin pada minit ke-10, Kpah Sean Sherman (minit ke-36 dan ke-84), K. Nanthakumar (minit ke-45), Luiz Eduardo Purcino (masa kecederaan babak pertama perlawanan) dan  M. Thinaadkharan pada minit ke-67.

Tiga gol Kuantan FA disumbangkan oleh Ljubo Baranin pada minit ke-27, kapten pasukan Abdul Malik Mat Ariff (minit ke-55 dan ke-57).

Pasukan UiTM FC turut meraih kemenangan setelah menang tipis 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia di Stadium UiTM, Shah Alam.

Sabah pula berkongsi satu mata dengan pasukan Johor Darul Ta'zim II selepas seri 1-1 pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

-Bernama
Liga Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain