suria

Monaco 'Tutup Pintu', Arsenal Kempunan

THOMAS LEMAR

AS MONACO akan menutup 'pintu keluar' untuk pemainnya menyertai kelab lain selepas menjual beberapa pemain utama kepada kelab gergasi Eropah.

Langkah itu akan dilaksanakan selepas pemain tengah mereka, Tiemoue Bakayoko melengkapkan perpindahan ke Chelsea selepas seorang lagi bintang kelab Perancis itu, Bernardo Silva berhijrah ke Manchester City dengan nilai 43 juta pound sterling.

Keputusan Monaco tersebut akan menyebabkan Arsenal menggigit jari untuk mendapatkan khidmat bakat muda juara Ligue 1 itu, Thomas Lemar yang dikaitkan dengan The Gunners sejak beberapa minggu lalu.

Selain Arsenal, City dan Juventus juga kempunan untuk mendapatkan khidmat Benjamin Mendy dan Alex Sandro yang masing-masing diletakkan harga terlalu tinggi oleh Monaco.

Monaco hanya membenarkan Mendy menyertai City jika kelab Inggeris tersebut membayar hampir 60 juta pound sterling, sekali gus menyebabkan kelab Manchester itu beralih arah membeli bek kanan Tottenham Hotspurs, Kyle Walker.

Juventus juga perlu membayar 61 juta pound jika mahu mendapatkan khidmat Sandro yang turut diintai oleh Chelsea.

Bimbang dengan kehilangan bakat besar satu demi satu, Timbalan Presiden Monaco, Vadim Vasilyev bertegas mahu menutup pintu perpindahan kelab itu.

Lemar, 21, ditawarkan kontrak baharu dan digesa menolak godaan Arsenal serta kekal bersama bola sepak Perancis sekurang-kurangnya tempoh setahun lagi.

Malah Vasilyev percaya pemain sayap itu akan memperoleh manfaat di bawah bimbingan pengurus Leonardo Jardim dan kelab tidak akan menghalangnya untuk mencapai impian yang lebih besar.

Arsenal cuba membida dengan tawaran 45 juta pound sterling tetapi jumlah itu masih belum cukup lumayan buat Monaco. - MAIL ONLINE

Thomas Lemar, Arsenal

Artikel Berikut

Artikel Lain