suria

Chong Wei Siap Sedia Hadapi Kejohanan Dunia - Misbun

Gambar fail Lee Chong Wei.

PETALING JAYA: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan dunia di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini, kata ketua jurulatih perseorangan lelaki Datuk Misbun Sidek. 

Beliau berkata, Chong Wei juga menjalani latihan mengikut program yang telah disusun untuknya. 

"Saya baru seminggu memulakan tugas, jadi saya tidak boleh terlalu drastik ke arah apa yang saya terapkan (untuk Chong Wei) bagi persiapan ke kejohanan itu.

"Apa yang saya lihat, beliau perlu dibantu daripada aspek kesedaran terhadap pihak lawan yang sentiasa mahu kalahkannya," kata Misbun kepada pemberita semasa menghadiri sambutan Hari Raya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini, Sabtu.

Menurutnya, Chong Wei juga perlu sedar dengan cabaran yang bakal dihadapinya kerana beliau diletakkan sebagai sasaran oleh para pemain negara lain.

Sementara itu, Chong Wei berkata beliau membuat persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan dunia itu. 

"Kita sudah melakukan persiapan terbaik dan akan pergi tiga minggu lebih awal. Kita hanya satu pasukan kecil melibatkan saya dan dua beregu. Kita akan berjuang sehabis mungkin untuk negara.

“Kejayaan adalah keputusan yang bakal diperoleh kemudian, apa yang penting adalah persiapan lengkap dari segi corak permainan, mental dan kerjasama dengan pemain-pemain lain," katanya. 

Ditanya sama ada beliau akan menyertai pertandingan lain sebelum ke kejohanan dunia itu, Chong Wei berkata. keputusan hanya akan diperoleh selepas berbincang dengan Misbun. 

Menurutnya semua keputusan yang dibuat Misbun akan diturutinya kerana beliau percaya itu adalah untuk kebaikan dirinya. - Bernama

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain