suria

Liga Perdana: UiTM FC Dapat Tiga Mata Percuma

Mohamad Zamri Pin Ramli

KUALA LUMPUR: UiTM FC diberi kemenangan percuma 3-0 pada perlawanan Liga Perdana menentang MISC-Mifa selepas pasukan itu didapati melanggar Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2017.

Menurut kenyataan dari Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP), MISC-Mifa didapati melakukan kesalahan dengan menurunkan Mohamad Zamri Pin Ramli yang telah mengutip tiga kad kuning dan tidak layak untuk beraksi dalam perlawanan berkenaan.

"Dengan jelas pasukan MIFA telah melanggar Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2017 dengan membenarkan seorang pemain yang tidak layak akibat digantung untuk bermain dalam perlawanan UiTM FC menentang Mifa pada 10 Julai 2017.

"Dengan itu keputusan FMLLP berdasarkan Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2017, melucutkan hak Mifa dalam perlawanan tersebut dan kemenangan percuma sebanyak 3-0 diberikan kepada pasukan UiTM FC," kata kenyataan FMLLP.

Sementara itu FMLLP mengarahkan agar Stadium Perak di Ipoh ditutup selama tujuh hari berikutan pemeriksaan padang yang dilakukan oleh pegawai Unit pertandingan FMLLP mendapati keadaan padang di stadium itu berada dalam keadaan yang tidak memuaskan dan tidak sesuai untuk perlawanan bola sepak diadakan.

"Sehubungan dengan itu FMLLP mengarahkan venue tersebut ditutup selama tujuh hari bermula selepas perlawanan Liga Perdana di antara PKNP FC melawan JDTII pada hari Jumaat, (14 Julai) sehingga hari Jumaat (21 Julai)," kata kenyataan itu.

Justeru, PKNP FC perlu mencari venue alternatif lain bagi perlawanan menentang Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada Selasa (18 Julai).

Liga Perdana

Artikel Sebelum

Sime Darby LPGA Oktober Ini

Artikel Berikut

Artikel Lain