suria

Jangan Sampai Makan Diri - Mohd Yusoff

PETALING JAYA: Skuad bola sepak Sukan SEA mempunyai peluang cerah meraih 'Ibu Emas' di tempat sendiri, Ogos depan.

Ia berikutan pasukan Bawah 22 Tahun negara bertuah apabila diundi bersama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei bagi Kumpulan A.

Bagaimanapun pengurus Projek Sukan SEA negara, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengingatkan supaya jangan terlalu ambil mudah dengan keputusan undian tersebut.

"Undian kita dilihat lebih mudah berbanding kumpulan satu lagi (Kumpulan B).

"Jangan pula kita nampak 'boleh makan', tetapi ia memakan diri sendiri kelak.

"Apa yang paling penting sekarang adalah persiapan lengkap pasukan kerana setakat ini kita masih lagi belum mendapat pelepasan pemain daripada persatuan dan kelab negeri  masing-masing," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Kumpulan B terdiri daripada juara bertahan yang juga pemenang pingat Emas, Thailand diikuti Vietnam, Indonesia, kemboja, Timor Leste dan Filipina.

Mohd Yusoff (kanan) bersama Kim Swee.

Jelas Mohd Yusoff, selepas semua pemain berkumpul semula pada 12 Julai ini, perancangan persiapan oleh ketua jurulatih B-22, Datuk Ong Kim Swee akan lebih teratur.

"Mereka akan bermain perlawanan persahabatan bertemu Myanmar pada 13 Julai dan selepas itu pergi ke Thailand bagi Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun.

"Dan seterusnya persiapan rapi fokus kepada Sukan SEA dijangka lancar tanpa sebarang isu.

"Saya yakin sekiranya berjalan lancar, peluang kita untuk mara ke pusingan separuh akhir lebih cerah," jelasnya.

Kali pertama Malaysia memenangi pingat emas bagi acara itu ketika Temasya Sukan Semenanjung Asia pada 1961 sebelum nama kejohanan tersebut ditukar kepada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) pada 1977.

Malaysia muncul juara dua tahun berturut-turut pada edisi pertama dan kedua Sukan SEA 1977 dan 1979 dan mengulangi kejayaan sama pada 1989.

Kemudian format kejohanan bertukar apabila skuad Bawah 23 tahun dibenarkan memasuki kejohanan tersebut bermula 2001 dan Malaysia terpaksa menunggu selama lapan tahun sebelum merangkulnya pada Sukan SEA 2009.

Kejuaraan pingat emas itu dipertahankan pada edisi seterusnya di Indonesia dan itu kali terakhir skuad Harimau Malaysia memenangi acara bola sepak di peringkat Asia Tenggara.

Untuk rekod aksi dua tahun lalu, skuad negara mencatat tiga kemenangan ke atas Timor Leste (1-0), Brunei (2-0) dan Laos (1-3).

Manakala tewas 5-1 kepada Vietnam dan 1-0 bertemu Thailand ketika aksi peringkat kumpulan.

Malaysia gagal layak ke separuh akhir selepas berada di kedudukan ketiga kumpulan.

Sukan SEA, bola sepak

Artikel Sebelum

Costa Sedia Buat U-Turn

Artikel Berikut

Artikel Lain