suria

4,888 Atlet Daftar Diri Untuk Sukan SEA

Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar .

KUALA LUMPUR: Sejumlah 4,888 atlet dari 11 negara di Asia Tenggara sudah mendaftar diri untuk menyertai 38 jenis sukan di dalam Sukan SEA Ke-28 di Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos tahun ni.   

Presiden Persekutuan Sukan SEA, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, tuan rumah Malaysia akan menghantar kontinjen terbesar dengan 874 atlet, manakala kuasa sukan Sukan SEA, Thailand akan  memberikan cabaran sengit menerusi  858 atletnya.

Indonesia yang sedang membuat persiapan untuk Sukan Asia tahun hadapan menghantar 629 atlet, sementara tuan rumah Sukan SEA edisi sebelum ini, Singapura menghantar 582 atlet diikuti Filipina yang bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA akan datang mendaftarkan 497 atlet. 

Timor Leste menghantar kontinjen paling kecil sebanyak 48 atlet, sementara Brunei dan Kemboja masing-masing mendaftarkan 109 dan 178 atlet menjelang penutupan pendaftaran pada 30 Jun lepas.

Bagaimanapun, Tunku Imran berkata, SEAGF menjangka akan ada perubahan pada jumlah atlet  kerana  ada antara mereka yang mungkin cedera dan menarik diri atas pelbagai faktor sehingga temasya sukan itu bermula.

“Ini bukan jumlah penyertaan terbesar dalam Sukan SEA, penyertaan terbesar adalah pada edisi 2005 di Manila dengan 5,336 atlet tetapi untuk Malaysia dan di Malaysia, ini adalah yang terbesar.

Hanya satu acara, lari berhalangan 3,000m wanita digugurkan kerana tiada (empat) peserta minimum , yang mana hanya Vietnam mendaftarkan atletnya. Bagaimanapun, kami akan cuba menghubungi lain-lain Majlis Olimpik Nasional untuk mendapat penyertaan bagi menganjurkan acara ini,” kata Tunku Imran semasa mengumumkan senarai itu di Wisma OCM, di sini Jumaat.

Dengan ketiadaan acara lari berhalangan 3,000m wanita , hanya 404 acara akan dipertandingkan dalam edisi Kuala Lumpur berbanding 405 acara yang ditetapkan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan  Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Menteri Belia dan Sukan  Khairy  Jamaluddin, masing-masing akan menyertai acara endurance dalam sukan ekuestrian dan acara polo.

“Kita menyertai dalam semua acara, kecuali renang gaya kupu-kupu 200m wanita, maraton 10,000m lelaki dan wanita, lari berhalangan 3,000m wanita, skuasy beregu jumbo lelaki dan wanita.

"Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tiada dalam senarai kerana beliau akan bertanding dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, “ katanya.

Bagaimanapun, sasaran pingat untuk Malaysia dan nama atlet tidak didedahkan kepada media pada sidang akhbar itu. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain