suria

Selamat Kembali Doktor Badminton Negara

PETALING JAYA: Selepas tujuh tahun, arena badminton negara kembali dengan sedikit cerita berbeza.

Selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), nama Datuk Misbun Sidek sudah jarang disebut-sebut. Biarpun jarang mendengar khabar dan mendapat liputan, Misbun atau digelar Bun  tidak pernah berhenti daripada dunia sukan yang sebati dalam dirinya selepas tidak lagi membimbing pemain No.1 negara, Datuk Lee Chong Wei.

Namun, keputusan Misbun untuk kembali membantu BAM menaikkan prestasi beberapa pemain utama negara telah menceriakan sedikit sebanyak peminat-peminat sukan badminton tanah air yang sentiasa ingin melihat acara ini terus berada di kemuncak kejayaan.

Misbun, bukan sahaja 'guru' kepada pemain, tetapi beliau juga mentor kepada beberapa jurulatih badminton tempatan.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Misbun bukan sahaja berjaya melahirkan pemain terbaik Malaysia atau dunia, sebaliknya beliau merupakan individu penting yang membantu memberi 'cahaya' kepada beberapa jurulatih tempatan dalam mengembangkan bakat mereka.

Menurut blog Kelab Nusa Mahsuri, beberapa bekas pemain kelab itu telah berjaya bergelar jurulatih di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Salim Samion, Izuan Ibrahim, Daphne Ng Chew Yen dan Djoko Sulistijo.

Mereka akui pada awal karier sebagai jurulatih, pelbagai cabaran dihadapi, namun Salim, Izuan, Daphne dan Djoko tidak kaku apabila diberi tanggungjawab yang dianggap berat ketika menjalankan tugas sebagai jurulatih sambil sentiasa berhubung dan menerima sentuhan daripada legenda badminton negara ini.

Bagi mereka, sentuhan Misbun adalah tonik semangat dan pembuka jalan bagi memastikan apa yang diajar pada setiap anak didik mampu difahami dan melonjak kualiti permainan masing-masing ke tahap lebih baik.

Menurut Salim yang kini bertindak sebagai  ketua jurulatih perseorangan di Kelab Nusa Mahsuri, selama 20 tahun bersama Misbun, banyak perkara dipelajari sehingga mampu berada ditahap sekarang.

"Pada saya, beliau seorang jurulatih yang sentiasa memikirkan tentang atlet yang dibimbingnya. Dia akan mencari jalan bagaimana untuk membentuk mereka bukan sahaja sebagai juara dalam badminton tetapi dalam kehidupan dan masa depan.

"Masih ingat kata-kata beliau, 'bagi aku pemain yang tidak bagus, aku akan jadikan dia champion'. Hakikatnya, beliau tidak lokek dalam memberi ilmu.

"Walaupun satu ketika saya pernah berada diperantauan kerana tugasan membimbing skuad negara lain, beliau  sentiasa mengambil berat dan menghubungi saya bagi mengetahui kemajuan pemain yang saya bimbing. Terima kasih tidak terhingga buat Misbun diatas kepercayaan beliau terhadap saya selama ini".

Sementara itu, Izuan yang pernah menjadi jurulatih skuad remaja Jepun sebelum ini berkata, Misbun seorang guru yang tulen dan ikhlas dalam memberi ilmu kepada insan yang ikhlas inginkan ilmunya.

Izuan (kanan belakang) ketika bergelar jurulatih skuad remaja Jepun sebelum ini. Foto kredit: Nusamahsuri.blogspot.my

"Mungkin caranya agak tegas, namun ramai tak tahu dalam ketegasan itu ada kelembutannya. Dalam setiap kasar dan lembut,  nasihat beliau adalah semata-mata ilmu yang mudah difahami dan disebatikan," ujarnya dalam blog kelab tersebut.

Izuan kini bertugas sebagai ketua jurulatih badminton Kelantan.

Dalam pada itu, Chew Yen memberitahu Misbun seorang jurulatih yang cukup berpengalaman, berdedikasi , positif, tegas dan serius.

"Ilmu Misbun luar biasa dan terperinci. Misbun memang doktor dalam badminton. Latihan yang diberikan Misbun memang penat tetapi sangat berkesan. Misbun, World Class Coach!".

Chew Yen pernah membawa skuad negara ke Sukan Universiti Asean (2016), serta pasukan Orang Pekak ke Kejohanan Badminton Deaflympics tahun ini.

Seorang jurulatih kelahiran Indonesia, Djoko Sulistijo menganggap Misbun sebagai seorang bapa yang hebat buat dirinya.

Djoko,45, merupakan bekas jurulatih di beberapa kelab termasuk di Nusa Mahsuri, Kelab Hevindo (Indonesia) serta Kelab Badminton Kamataka (India).

"Tanpa bantuan Misbun dan adiknya, Rahman, saya bukanlah apa-apa.

"Beliau bukan sahaja ajarkan saya pasal badminton, tetapi yang lebih penting tentang ikhlas dan hormati menghormati antara satu sama lain, begitu juga tentang disipin diri.

"Tanpa bantuan beliau, saya tidak mungkin faham ilmu badminton dalam ertikata sebenar.

"Jasa Misbun sangat luar biasa dalam membantu saya. Terima kasih Misbun. Moga Allah sentiasa merahmati apa sahaja dikerjakan dan beroleh kesejahteraan hidup buat Misbun," ujarnya.

Sebagai rekod, Misbun kembali dilantik ketua jurulatih perseorangan lelaki negara dibantu Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairol Amar Ayob.

Beliau akan memulakan tugasnya di BAM pada Isnin ini.

Badminton, Misbun Sidek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain