suria

Real Madrid Juara Lagi!

-fotoAP

REAL Madrid meraih gelaran juara Liga Juara-Juara Eropah 2016/17 selepas menang 4-1 ke atas Juventus di Stadium Millennium, Cardiff, awal pagi Ahad.

Kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan 1-1 pada babak pertama.

Cristiano Ronaldo menjadikan Real unggul terlebih dahulu apabila menyumbat masuk gol pertama perlawanan pada minit ke-20.

Selang tujuh minit kemudian, Juventus menyamakan kedudukan melalui tendangan akrobatik Mario Mandzukic.

Masuk babak kedua, Real dihujani tiga gol tambahan menerusi Casemiro (61'), Ronaldo (64'), dan Marco Asensio (90').

Perlawanan ini juga menyaksikan Juventus terpaksa bermain dengan sepuluh orang setelah Juan Cuadrado dilayangkan kad kuning kedua kerana melanggar kapten Real, Sergio Ramos, pada minit ke-84.

Keputusan ini menyaksikan Real mempertahankan gelaran Liga Juara-Juara yang dimenanginya tahun lalu.

Real juga menjadi pasukan pertama yang berjaya mempertahankan gelaran juaranya sejak Liga Juara-Juara dimulakan pada 1992.

Setakat ini kelab ini telah menjulang trofi Liga Juara-Juara sebanyak 12 kali.

Sementara itu jurulatih Real Zinedine Zidane berkata dia sangat gembira dengan kejayaan ini tetapi tidak menganggap dirinya sebagai jurulatih terbaik.

"Saya gembira. Anda mungkin tak nampak, tapi dalam hati, saya berasa sangat puas," kata Zidane, memetik Football Espana.

"Ini merupakan musim yang hebat, tahniah kepada semua pemain. Dengan kerja keras semua pemain, kami berjaya meraih semua ini," kata jurulatih dari Perancis itu.

Media Sepanyol, Marca telah menyebut prestasi Zidane adalah lebih baik berbanding Jose Mourinho, Pep Guardiola atau Luis Enrique.

"Jurulatih terbaik? Tidak, tidak, bukan saya," kata bekas pemain Real Madrid itu.

Liga Juara-Juara, Ronaldo

Artikel Lain