suria

Wajah Baharu MU Selepas Raya

MELAKA: Pasukan Melaka United (MU) bakal berwajah baharu selepas sambutan Aidilfitri nanti, kata pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Katanya pihaknya terpaksa membuat perubahan segera dengan menukar jurulatih serta barisan pemain bagi memastikan pasukan lebih bersedia menghadapi saingan  perlawanan Liga Super.

"Kita akan membuat keputusan penganti jurulatih Eric Williams selewat-lewatnya minggu depan selepas mengambil kira pandangan semua pihak termasuk jurulatih, pihak pengurusan, pemain dan mereka yang berpengalaman dalam sukan bola sepak," katanya ketika dihubungi Bernama pada  Ahad.

Mohd Yusoff berkata beberapa nama jurulatih tempatan dan luar negara kini berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) dan menurutnya nama jurulatih baharu pasukan akan diumumkan  minggu depan.

"Kita hanya akan mengambil jurulatih yang mampu membawa pasukan Melaka United ke tahap yang lebih baik daripada sebelum ini, mana-mana pasukan yang berada di tempat kita pun akan mengambil keputusan sama iaitu membuat rombakan demi kebaikan pasukan,"katanya.

Ditanya adakan Mafa akan kekal menguna khidmat jurulatih import atau menukar haluan dengan mengambil jurulatih tempatan, Mohd Yusoff berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang  kuota atau syarat bagi pemilihan jurulatih.

"Persoalan sama ada jurulatih tempatan atau import tidak menjadi keutamaan Mafa, sebaliknya kita ingin mendapat segera jurulatih yang mampu mengemudi pasukan ke tahap yang lebih baik dan terus kekal dalam saingan Liga Super pada musim hadapan,"katanya.

Beliau berkata antara nama jurulatih tempatan yang kini dalam senarai Mafa ialah Mohd. Azraai Khor Abdullah, K.Devan dan Datuk K.Rajagobal.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih dengan respons positif yang diberikan oleh jurulatih tempatan yang bersedia untuk membantu pasukan MU dan kita amat menghargainya," katanya.

Mohd Yusoff berkata selain daripada memecat jurulatih, MU turut melakukan perubahan pada barisan serangan dengan menamatkan khidmat tiga orang pemain importnya iaitu Ilija Spasojeivc, Sergio Aguero dan  Godwin Antwi.

​​​​​​​"Kita telah ada senarai pendek nama pemain yang akan menganti tempat Spasojeivc dan pemain import lain.. Mafa akan membuat keputusan segera sebelum perlawanan Liga Super bermula nanti, " katanya.

Mohd Yusoff berkata  MAFA terpaksa membuat keputusan tersebut apabila melihat perbezaan jumlah jaringan berbanding dengan  bolos bagi pasukan MU terlampau besar.

"Kita perlu segera mantapkan lagi barisan serangan bagi menghasilkan lebih banyak jaringan berbanding bolos pada perlawanan sebelum ini," katanya.

Pasukan Melaka United kini berada di zon penyingkiran Liga Super selepas berada di tempat ke-11 carta Liga Super menerusi perbezaan gol, walaupun  berkongsi 11 mata dengan pasukan di tangga kesembilan dan ke-10, iaitu PKNS  FC dan Sarawak.

Selepas mengharungi 13 perlawanan, bekas juara Liga Perdana musim lepas itu  hanya menang dua  perlawanan, selain seri lima kali dan tewas enam kali.

Jumlah bolos bagi pasukan terkenal dengan jolokan 'Skuad Hang Tuah' itu ialah 28 berbanding hanya 13 jaringan.

Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain