suria

Pertembungan Epik Murray, Del Potro

PEMAIN No.1 dunia, Andy Murray akan bertemu jaguh Argentina, Juan Martin del Potro selepas kedua-duanya melangkah ke pusingan ketiga Terbuka Perancis, awal pagi Jumaat.

Murray, yang juga naib juara 2016 meneruskan kemaraan selepas menundukkan pemain Slovakia, Martin Klizan menerusi kemenangan sukar 6-7 (3/7), 6-2, 6-2, 7-6 (7/3).

Sementara itu, Del Potro yang beraksi di Paris buat kali pertama dalam tempoh lima tahun meneruskan langkah kanan selepas pemain Sepanyol, Nicolas Almagro menarik diri akibat kecederaan lutut.

Semangat kesukanan Del Potro mendapat pujian ramai apabila dia cuba menenangkan Almagro yang menangis selepas terpaksa menarik diri.

Di gelanggang Suzanne Lenglen, pemain ranking ke-50 dunia, Klizan melakukan 57 pukulan mata tetapi melakukan 67 kesilapan yang tidak sepatutnya sebelum tumbang di tangan Murray.

"Saya menjangkakan perlawanan yang sukar. Martin menggunakan (kelebihan) pukulannya, dia boleh mengutip mata menerusi (pukulan) kilasnya di mana-mana saja di dalam gelanggang," kata Murray.

Murray sebelum ini pernah menewaskan Del Potro pada aksi final Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Namun Del Potro bangkit membalas dendam dalam pertarungan lima set separuh akhir Piala Davis.

"Ia akan menjadi amat sukar. Del Potro bermain dengan amat baik berbanding rankingnya," kata Murray.

Del Potro cuba menenangkan Almagro.

Dalam pada itu, di Court Two itu, Del Potro duduk di sebelah Almagro yang sedang menangis dan memberinya air.

"Saya cuba memberi kata-kata semangat kepadanya ketika itu. Saya berkata kepadanya, cuba untuk bertenang. Cuba fikir mengenai keluarga dan bayinya.

"Kadang kala perasaan lebih utama berbanding perlawanan tenis," kata Del Potro.

Turut mara, pilihan ketiga yang juga juara 2015, Stan Wawrinka.

Dia akan dijadual menentang pemain Itali, Fabio Fognini bagi penentuan pusingan keempat.

Pemain pilihan kelapan dari Jepun, Kei Nishikori pula menundukkan pemain tuan rumah, Jeremy Chardy 6-3, 6-0, 7-6 (7/5) bagi menempah tiket  bertemu Hyeon Chung dari Korea Selatan.

Terbuka Perancis

Artikel Lain